Antara 15 PATI yang berjaya dicekup selepas bersembunyi di atas bumbung bagi mengelak dicekup Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka.

MELAKA – Tindakan 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) bersembunyi di atas bumbung bagi mengelak dicekup Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka gagal apabila mereka ditahan dalam serbuan di tapak pembinaan di sini hari ini.

Kesemua mereka berusia lingkungan 20-an hingga 40-an itu adalah antara 170 PATI warganegara Bangladesh, Nepal, Myanmar, Pakistan, India, Indonesia dan China berusia yang ditahan dalam operasi atas pelbagai kesalahan.

Pengarah JIM Melaka, Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, keseluruhannya seramai 215 pekerja warga asing termasuk sembilan warga tempatan yang diperiksa kerana disyaki melindungi warga asing.

Anirwan Fauzee Mohd Aini

“Semasa serbuan di lokasi kedua di Kota Laksamana, terdapat 15 PATI cuba melarikan diri dengan menyorok di atas bumbung.

“Bagaimanapun hasil kecekapan anggota dan bantuan masyarakat setempat, kita berjaya menahan mereka terdiri sembilan warga Bangladesh, Myanmar (3) Indonesia (2) dan seorang warga India,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai operasi JIM Melaka selama hampir tiga jam dengan kekuatan 68 pegawai serta anggota di sini hari ini.

Turut sama Timbalan Pengarah JIM Melaka (Pengurusan), Nursyafika Mohd Yusoff dan Timbalan Pengarah JIM Melaka (Kawalan), Suzila Suhya.

Antara 15 PATI yang berjaya dicekup selepas bersembunyi di atas bumbung bagi mengelak dicekup Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka.

Mengulas lanjut Anirwan Fauzee berkata, kesalahan yang dikesan adalah tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, melanggar syarat pas lawatan kerja, tinggal melebihi tempoh dibenarkan serta menggunakan kad pengenalan yang tidak diiktiraf.

“Dalam operasi ini, dua saman turut dikeluarkan kepada majikan di kedua-dua tapak pembinaan berkenaan dan kesemua kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

“Kesemua tahanan dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Machap Umboo untuk siasatan lanjut dan tindakan susulan,”katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here