PATI yang diperiksa dalam serbuan Op Mahir di sebuah tapak projek pembinaan di Taman Suria, Johor Bahru, hari ini

JOHOR BAHRU – Kira-kira 60 pendatang asing tanpa izin (PATI) bertempiaran lari semasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor membuat serbuan di sebuah tapak pembinaan di Taman Suria di sini hari ini.

Pelbagai gelagat pekerja asing warganegara Bangladesh, Myanmar dan Indonesia dapat dilihat yang mana masing-masing tidak mempunyai permit kerja serta melakukan pelbagai kesalahan lain.

Seorang lelaki warga Bangladesh patah kaki selepas terjun ke dalam saliran air untuk melarikan diri dalam serbuan tersebut dalam kejadian pada pukul 10.30 pagi itu.

Lelaki asing berusia lingkungan 30-an itu terjun ke dalam parit sedalam 4.57 meter di kawasan belakang tapak pembinaan tersebut pukul 10.30 pagi selepas menyedari kehadiran anggota penguat kuasa.

Bagaimanapun dia akhirnya berjaya ditahan dalam Op Mahir tersebut selepas terbaring dalam parit tersebut kerana kawasan berkenaan sudah pun dikepung.

Tidak sekadar sanggup menggadai nyawa dengan terjun ke dalam saliran air, malah ada juga sanggup melintas jalan yang sesak di sebelah tapak pembinaan terbabit demi mengelak ditahan.

Pengarah JIM Johor, Datuk Rusdi Mohd Darus berkata, seramai 120 pegawai dan anggota JIM Johor bertindak mengepung kawasan pembinaan bagi mengelakkan lebih ramai PATI melarikan diri.

Beliau berkata, pegawai JIM Johor telah melakukan risikan selama seminggu sebelum serbuan berkenaan dilaksanakan.

“Operasi yang dijalankan dari pukul 10 pagi hingga 11.15 pagi itu melibatkan seramai 120 anggota penguat kuasa dan pemeriksaan dibuat terhadap 215 individu warga asing dan tempatan.

“Hasil pemeriksaan, seramai 189 PATI ditahan yang terdiri daripada 165 warga Bangladesh, 18 warga Myanmar dan enam warga Indonesia kerana melakukan pelbagai kesalahan imigresen,” katanya ketika dalam sidang akhbar selepas operasi.

Menurut beliau, antara kesalahan dikesan termasuk menyalahgunakan pas, tiada dokumen perjalanan sah dan tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.

Semua mereka katanya, disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 6(1)(c) serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Dalam pada itu, seorang penyelia tapak pembinaan turut ditahan dan dikenakan Notis kehadiran ke JIM Setia Tropika bagi membantu siasatan lanjut.

Katanya, semua PATI yang ditahan akan dihantar ke Depoh Imigresen Pekan Nanas, Pontian sebelum dihantar pulang ke negara masing-masing selepas siasatan selesai.

JIM Johor tambahnya, akan meneruskan operasi susulan bagi mengesan saki baki PATI yang melarikan diri dan dipercayai bersembunyi di kawasan berhampiran.

“Mereka dijangka akan kembali ke tapak ini kerana kebanyakan barangan peribadi masih ditinggalkan di asrama pekerja,” katanya.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here