BATU PAHAT – Seorang pemandu didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang kanak-kanak lelaki lima tahun yang tertinggal dalam van sekolah, bulan lalu.
Yau Chee Weng, 56, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohamad Khalid Ab Karim.
Chee Weng dituduh meninggalkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 5 tahun 2 bulan sehingga menyebabkan kanak-kanak tersebut meninggal dunia dalam sebuah van di hadapan sebuah tadika di Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri, pukul 8 pagi hingga 12.05 tengah hari, 30 April lalu.
Tambahan kepada hukuman, merujuk kepada Seksyen 31(2) mahkamah hendaklah memerintahkan orang yang disabit menyempurnakan suatu bon dengan penjamin untuk untuk berkelakuan baik selama satu tempoh yang sesuai dan melaksanakan khidmat masyarakat tidak kurang dari 36 jam daan tidak lebih daripada 240 jam secara agregat dan hendaklah dilaksanakan dalam tempoh tidak melebihi enam bulan dari tarikh perintah.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Natasha Syed Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam Goh Toh Jen.
Mohamad Khalid membenarkan tertuduh dijamin RM7,000 dengan seorang penjamin warganegara beserta syarat tambahan tidak mengganggu saksi atau mangsa sehingga kes selesai serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Mahkamah menetapkan 12 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk penyerahan dokumen.
Pada 1 Mei lalu, MalaysiaGazette melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut selepas tertinggal dalam van sekolah selama lebih empat jam di Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner M Kumarasan dilaporkan berkata, mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam van itu pukul 12 tengah hari selepas dipercayai tertinggal dalam van sekolah berkenaan ketika pemandu kenderaan itu menurunkan pelajar di hadapan sekolah pada hari sama, l pukul 7.30 pagi.
Susulan itu, polis menahan seorang lelaki yang bekerja sebagai pemandu van sekolah di kawasan Taman Bukit Indah pada pukul 2.40 petang hari yang sama.- MalaysiaGazette