KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Selangor menggesa kerajaan negeri menghentikan projek pembangunan bercampur bernilai hampir RM900 juta di Seksyen 24, Shah Alam yang didakwa mengabaikan kesejahteraan alam sekitar serta komuniti setempat.
Ketuanya, Mohamed Sukri Omar menyifatkan projek itu sebagai simbol kerakusan pembangunan yang tidak berjiwa rakyat.
“Tapak projek itu merupakan kawasan dataran rendah dan kolam takungan semula jadi yang berfungsi mengawal banjir. Pembangunan di kawasan berkenaan bukan sahaja menghapuskan fungsi penting tersebut, malah berisiko menambah kekerapan banjir di Shah Alam,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut membangkitkan isu kesesakan infrastruktur kerana tiada perancangan jelas untuk sekolah, masjid atau fasiliti awam meskipun projek itu dijangka membawa masuk hampir 10,000 penduduk baharu.
Malah tempoh pembinaan selama 10 tahun menurutnya akan menyeksa penduduk dengan gangguan debu, bising dan risiko keselamatan yang berterusan.
“Ini bukan pembangunan. Ini hukuman jangka panjang kepada rakyat,” tegasnya.

Mohamed Sukri turut menyalahkan kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari atas kegagalan mengutamakan kepentingan rakyat berbanding keuntungan hartanah.
Menurutnya, kerajaan negeri mengulangi kesilapan projek seperti River of Life yang mementingkan estetika tetapi mengabaikan ekologi dan komuniti.
“Kami menuntut pembatalan segera projek ini serta pewartaan semula kawasan dataran banjir sebagai zon ekologi kritikal. Pas tidak tolak pembangunan. Kami tolak kebodohan yang memangsakan rakyat atas nama pembangunan,” tambahnya.
Menurut beliau, tapak projek itu merupakan kawasan dataran rendah dan kolam takungan semula jadi yang berfungsi mengawal banjir.
Pembangunan di kawasan itu bukan sahaja menghapuskan fungsi penting tersebut malah berisiko menambah kekerapan banjir di Shah Alam.
“Kami tidak tolak pembangunan. Kami tolak kebodohan yang memangsakan rakyat atas nama pembangunan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette