Fadhlina Sidek

KUALA LUMPUR – Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek hari ini menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Nurul Izzah Anwar untuk mengisi jawatan timbalan presiden sambil menyifatkan keputusan tersebut  langkah tepat perkukuh kestabilan dan kesinambungan dalam parti.

Menurut Fadhlina, pencalonan Nurul Izzah selari dengan kehendak akar umbi parti yang mahukan perubahan berasaskan prinsip kesetiaan dan pengukuhan institusi politik progresif.

Beliau menegaskan, Nurul Izzah adalah tokoh muda yang telah melalui pelbagai cabaran sejak awal penubuhan PKR dan sentiasa berada di barisan hadapan dalam perjuangan reformasi.

“Beliau (Nurul Izzah) ada di setiap fasa, bermula dari gelombang merakyatkan reformasi, penubuhan parti, mencipta sejarah sebagai pasukan pembangkang terkuat dalam sejarah Negara sehinggalah pembentukan Kerajaan Madani.

“Mengangkat Nurul Izzah sebagai timbalan presiden juga adalah cerminan kesungguhan parti PKR untuk meneruskan tekad Islahiyy, memperkukuh parti, mengangkat keterlibatan pimpinan muda dan wanita dalam agenda pemberdayaan rejuvenasi politik negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Fadhlina menegaskan, Nurul Izzah bukan hanya dikenali sebagai anak kepada presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi lebih penting, beliau merupakan pemimpin berjiwa rakyat yang telah memainkan peranan signifikan dalam semua fasa kebangkitan PKR dari gerakan reformasi hingga ke pembentukan kerajaan.

Pengalaman Nurul Izzah sebagai Pengarah Pilihan Raya Pusat (JPRP) turut dijadikan sandaran terhadap kemampuan beliau memimpin dan menyusun strategi parti khususnya dalam memenangi pilihan raya.

Fadhlina turut menyifatkan Nurul Izzah sebagai pemimpin yang memiliki kredibiliti tinggi dan sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat.

“Beliau juga cukup istiqamah dalam memperjuangkan isu-isu kemanusiaan di peringkat antarabangsa termasuk isu Palestin, kemiskinan, keselamatan wanita serta hak kanak-kanak dan keluarga,” tambah Fadhlina.

Malah ciri-ciri tersebut jelas Fadhlina menjadikan Nurul Izzah sebagai tokoh berwibawa yang diperlukan untuk mengemudi parti ke hadapan.

Sokongan kuat daripada sebahagian besar akar umbi parti turut memberi isyarat bahawa pencalonan Nurul Izzah bukan sekadar simbolik, tetapi merupakan manifestasi kepercayaan terhadap kepimpinannya.

“Sebahagian besar akar umbi parti telah menyatakan sokongan penuh kepada Nurul Izzah untuk bertanding dan berfungsi secara efektif dengan “letak duduk” sebagai orang dua dalam parti.

“Ini bukan soal anak siapa. Ini bukan soal lelaki atau wanita. Ini bukan soal fraksi siapa. Ini soal kelangsungan sebuah parti keramat yang memerlukan tokoh rejuvenasi parti,” katanya lagi.

Hari ini seramai 22 Ketua Cabang PKR Johor menyokong pencalonan Nurul Izzah Anwar sebagai timbalan presiden parti.

Menerusi satu kenyataan bersama-sama yang dikeluarkan Ketua Cabang Mersing, Khairil Adanan, Nurul Izzah wajar diangkat sebagai simbol semangat reformasi baharu yang diyakini mampu menyatukan parti dan mengangkat suara rakyat ke peringkat tertinggi kepimpinan.

Antara ketua cabang yang menyatakan sokongan tersebut termasuk Ketua Cabang Bakri, Ysahruddin Kusni; Ketua Cabang Pontian, Haniff Ghazali; Ketua Cabang Pulai, Faezudin Puad; Ketua Cabang Iskandar Puteri, Shamala Devi; dan Ketua Cabang Johor Bahru serta Tebrau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here