ALOR SETAR – Seorang lelaki dilaporkan maut ketika menjalankan aktiviti pendakian di Gunung Keriang, yang terletak berhampiran Jalan Kampung Huma, Kampung Tok Pulau di sini semalam.
Menurut Komander Operasi Kanan Zon 1 Kota Setar, Mohd Sofi Abdul Wahab, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.15 petang yang memaklumkan tentang kehilangan seorang individu di kawasan hutan.
“Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan usaha mencari mangsa.
“Lelaki terbabit ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri, dipercayai akibat terjatuh semasa mendaki sebelum dibawa turun ke kaki gunung sekitar jam 9.30 malam,” katanya malam tadi.
Tambah Mohd Sofi, kematian mangsa disahkan petugas Kementerian Kesihatan yang berada di lokasi sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 10.14 malam. – MalaysiaGazette