Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil bergambar bersama-sama 23 wanita yang diiktiraf menerusi bidang profesional dan teknikal.

KUALA LUMPUR – Sudah tiba masanya peratusan wanita dalam pekerjaan profesional dan teknikal dipertingkatkan seiring dengan perkembangan kerjaya hari ini.

Pengerusi  Pertubuhan Hal Ehwal Wanita dan Keluarga (Hawa) Malaysia, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, wanita kini mempunyai potensi tinggi untuk sama-sama bekerja dalam sektor yang sebelum ini dimonopoli lelaki.

“Saya kagum dengan peningkatan ketara penyertaaan wanita dalam industri-industri seperti logistik, robotik, pengangkutan dan pelbagai lagi.

“Sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Hawa juga akan bersama-sama mencungkil lebih ramai wanita untuk diketengahkan bagi mengimbangi ekosistem pekerjaan hari ini,” katanya selepas menyampaikan anugerah kepada 23 tokoh wanita pelbagai bidang menerusi FemForward 2025.

Shahrizat yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perundingan WITI (MITI) berkata, dedikasi dan semangat wanita pada hari ini terlalu tinggi terhadap sumbangan yang tidak ternilai dalam pelbagai aspek kehidupan.

“Kita tidak hanya meraikan wanita yang cemerlang dalam bidang masing-masing, tetapi juga menzahirkan penghargaan kepada kaum wanita.”

“Saya suka melihat golongan wanita sekarang yang berani meneroka pelbagai bidang baharu dan inilah perintis kepada kejayaan negara,” katanya lagi.

Anugerah Khas Kecemerlangan Sepanjang Hayat disampaikan kepada Tan Sri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad.

Sementara itu, Presiden CILT Malaysia Prof Ts Muhammad Zaly Shah berkata, langkah-langkah proaktif perlu diambil untuk menambahkan bilangan penyertaan wanita dalam bidang professional dan teknikal.

“Memang ada cabaran yang dihadapi antaranya wujud sikap skeptikal golongan lelaki yang merasakan wanita tidak mampu.

“Namun, dengan apa yang kita lihat hari ini, rata-rata mereka sudah berjaya buktikan kemampuan mereka dan tugas kita adalah memberikan ruang sebaik-baiknya,” katanya.

Jelasnya, bidang profesional dan teknikal bukan lagi sinonim dengan lelaki tetapi berkongsi dengan golongan wanita untuk menaik taraf eknomi semasa.

Jabatan Perangkaan Malaysia sebelum ini mengumumkan sebanyak 188,000 wanita terlibat dalam sektor pengangkutan pada tahun 2022.

Namun, peratusan wanita dalam bidang profesional dan teknikal hanya 40.2 peratus pada tahun 2023.

“Jadi pada tahun-tahun mendatang jumlah ini diharap akan terus meningkat,” katanya lagi.

Melihat kepada keperluan itu, Femforward 2025 tampil dengan menobatkan 23 anugerah Femforward 2025 yang disampaikan kepada wanita daripada pelbagai bidang.

Bertemakan ‘Accelerate Action in Women Community’, program anjuran Women in Logistics and Transport (WiLAT),  The Chartered Institute of Logistics and Transport (CILT) Malaysia dengan kerjasama Hawa Malaysia, Balai Ikhtisas Malaysia (BIM) dan Synergy Connect Holdings Sdn Bhd sebagai pihak pengurusan utama Femforward menjadi simbol penghargaan terhadap ketokohan, dedikasi dan pencapaian mereka dalam sektor-sektor penting negara.

Kemuncak majlis menyaksikan Anugerah Khas Kecemerlangan Sepanjang Hayat diberikan kepada Tan Sri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan luar biasa dalam kepimpinan dan pembangunan wanita di Malaysia.

Femforward 2025 merupakan acara tahunan yang menghimpunkan pemimpin wanita, usahawan, profesional dan aktivis komuniti untuk memperkukuh jaringan kerjasama, memacu tindakan kolektif dan memperjuangkan aspirasi wanita ke arah masyarakat yang lebih progresif dan sejahtera. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here