Pengerusi Persatuan Pengusaha Dobi Melayu (MULA), Zarina Ismail bercakap pada sidang media berkaitan pelaksanaan Ops Gasak yang sedang dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 07 MEI 2025

KUALA LUMPUR – Tiga persatuan utama industri dobi hari ini mendesak kerajaan supaya mengkaji semula keputusan penarikan penggunaan LPG bersubsidi di premis dobi yang beroperasi secara komersial.

Gesaan itu dibuat oleh Persatuan Pengusaha Dobi Melayu (MULA), Malaysia Laundry Association (MLA) dan Persatuan Pengusaha Dobi Layan Diri Malaysia (PPDLDM) yang mewakili lebih 5,000 pengusaha dobi mikro, kecil dan sederhana (MSME) di seluruh negara.

Pengerusi MULA, Zarina Ismail berkata pihaknya menerima ratusan aduan daripada ahli persatuan sejak Ops Gasak mula dikuatkuasakan sepenuhnya April lalu.

“Ramai pengusaha dobi kecil terpaksa mengurangkan waktu operasi, memotong kos pekerja malah ada yang telah menutup perniagaan kerana tidak mampu menampung beban kos baru ini.

“Pelaksanaan dasar ini secara mengejut tanpa sebarang peralihan berperingkat atau skim bantuan alternatif amat membebankan golongan MSME yang keuntungannya hanya sekitar 10 hingga 15 peratus sahaja selepas ditolak kos tetap seperti sewa, utiliti dan penyelenggaraan mesin.

“Tambahan pula, majoriti pengusaha dobi kecil masih dalam fasa pemulihan selepas terjejas teruk akibat pandemik Covid-19,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Dobi Melayu (MULA), Zarina Ismail. Foto SADIQ SANI, 07 MEI 2025

Menurut Zarina, langkah kerajaan melalui pelaksanaan operasi itu yang mewajibkan penggunaan LPG komersial di premis perniagaan termasuk dobi telah menyebabkan lonjakan kos bahan api secara mendadak.

Untuk tong LPG 14 kilogram, harga bersubsidi yang sebelum ini sekitar RM26 kini meningkat kepada antara RM65 hingga RM70 bagi LPG komersial.

Ia bermakna kos bahan api meningkat lebih 150 peratus dan memberi kesan langsung kepada operasi harian khususnya bagi premis dobi yang menggunakan dua hingga empat tong LPG setiap hari.

“Pengusaha dobi jenis On Premises Laundry (OPL) dan dobi layan diri (coin operated) paling terkesan kerana mereka amat bergantung kepada LPG untuk mengoperasikan mesin pengering.

“Bagi premis kecil yang hanya mengendalikan satu atau dua mesin, kos tambahan bulanan akibat peralihan ini boleh mencecah antara RM300 hingga RM800 bergantung kepada lokasi dan kadar penggunaan.

“Dalam jangka masa pendek, kos operasi yang meningkat ini tidak dapat diserap sepenuhnya tanpa menaikkan harga perkhidmatan sekaligus mengurangkan daya saing pengusaha kecil dan menjejaskan kelangsungan perniagaan,” tambahnya.

Sehubungan itu, MULA bersama MLA dan PPDLDM menyeru agar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mempertimbangkan semula pendekatan penguatkuasaan terhadap sektor dobi.

“Kami mencadangkan supaya kerajaan memberi kelonggaran dalam bentuk pengecualian bersyarat kepada pengusaha dobi kecil untuk terus menggunakan LPG bersubsidi dengan pemantauan ketat bagi memastikan tidak berlaku penyelewengan,” ujarnya.

Selain itu, ketiga-tiga persatuan menggesa agar tindakan penguatkuasaan ditangguhkan serta-merta ke atas sektor itu dan satu moratorium selama 12 bulan dilaksanakan bagi membolehkan kajian semula dilaksanakan secara menyeluruh.

Kajian itu dicadangkan merangkumi sesi libat urus antara pihak kementerian dan persatuan-persatuan industri dobi bagi memastikan suara pengusaha kecil turut diambil kira sebelum sebarang keputusan kekal dimuktamadkan.

Zarina turut menzahirkan kebimbangan mengenai ketidakseimbangan harga dan bekalan LPG di pasaran yang menurutnya membuka ruang kepada manipulasi harga oleh pembekal.

“Ada pengusaha di luar bandar dilaporkan terpaksa membayar sehingga 20 peratus lebih tinggi berbanding pengusaha di bandar sekali gus menambah tekanan kepada pengusaha kecil yang sudah pun terjejas.

“Kami tidak menolak penguatkuasaan atau dasar rasionalisasi subsidi namun pelaksanaannya perlu dilakukan dengan adil, berperingkat dan mengambil kira realiti pengusaha kecil,” katanya.

Sekiranya tiada langkah penyelarasan segera diambil, beliau menjangkakan lebih banyak premis dobi akan gulung tikar dalam masa terdekat.

Dalam masa yang sama, industri dobi yang kini dianggarkan bernilai lebih RM1 bilion setahun merupakan penyumbang penting kepada ekonomi perkhidmatan negara dan sebahagian besar perkhidmatan tersebut ditampung oleh pengusaha kecil dan sederhana.

Jika golongan itu terus ditekan tanpa sokongan dasar yang sesuai, kesannya bukan sahaja dirasai oleh pengusaha malah oleh masyarakat umum yang bergantung kepada perkhidmatan asas ini setiap hari. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here