Dominic Lau

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran supaya mengeluarkan senarai penarafan tahunan bagi mengenal pasti jabatan yang berbelanja secara tepat dan berhemah serta bijak dalam pengurusan kewangan.

Presiden Parti Gerakan Rakyat (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, ia merupakan mekanisme yang boleh mengawal dan menangani pembaziran sumber awam sekaligus mengekang amalan korupsi melalui perbelanjaan tidak wajar.

“Sejak dahulu Pakatan Harapan (PH) sering menekankan reformasi institusi dan mungkin inilah waktu yang paling sesuai untuk melaksanakannya.

“Ini kerana fenomena ini bukan perkara baharu. Ia berlaku setiap tahun tanpa gagal. Jika kerajaan tidak bertindak dan memandang serius isu ini serta tidak menghukum jabatan yang terlibat, ia akan terus menjadi barah yang berulang setiap tahun,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu, Dominic berpendirian pentadbiran yang berintegriti akan melahirkan rakyat yang berdisiplin.

Beliau juga menyokong kenyataan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar bahawa perbelanjaan yang melampau boleh mencetuskan persepsi negatif rakyat terhadap kejujuran dan kecekapan pentadbiran kerajaan.

“Pembaziran juga adalah satu bentuk jenayah. Ia tidak boleh sekadar disebut di bibir, kerajaan perlu mendalaminya dan mewujudkan mekanisme kawalan yang lebih jelas dan tegas untuk menangani isu ini,” tambahnya.

Jelasnya, pembaziran sumber membuktikan ketidakcekapan dalam perancangan bajet.

Dalam masa yang sama, beliau mempersoalkan sebab ‘fenomena’ tersebut berterusan meskipun jelas bertentangan prinsip Pakatan Harapan (PH).

“Salah satu sebab utama adalah kerana pihak yang bertanggungjawab tidak dikenakan sebarang tindakan.

Beliau turut mempersoalkan, kerajaan sering menyebut mengenai penggunaan data raya dan kecerdasan buatan, jadi mengapa teknologi seperti analitik data raya, AI dan automasi tidak digunakan untuk memantau secara langsung maklumat kewangan jabatan kerajaan.

“Jika terdapat tanda-tanda pembaziran, pihak berwajib boleh segera menghantar pasukan pemantau untuk menyiasat dan mengelakkan pembaziran daripada berlaku,” tegasnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here