Lebih 200 doktor dan pengamal perubatan berkumpul bagi membantah pelaksanaan peraturan mewajibkan klinik swasta serta farmasi mempamerkan harga ubat-ubatan dan menyerahkan memorandum kepada wakil Pejabat Perdana Menteri (PMO) di Laman Perdana, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 06 MEI 2025.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad meneliti semua tuntutan yang dibuat oleh kumpulan doktor dan pengamal perubatan yang mengadakan perhimpunan aman di Putrajaya, semalam.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri mengambil maklum mengenai bantahan oleh pengamal perubatan itu dan meminta Kementerian Kementerian (KKM) membuat penjelasan segera.

Katanya, ia termasuk berkenaan penggunaan Akta 723 iaitu Akta Anti Pencatutan yang digunakan dalam pameran harga ubat-ubatan di klinik, bukannya menggunakan Akta 586.

“Dalam masa sama, jadual ketujuh dalam Akta 586 yang mengawal harga konsultasi lawatan ke klinik-klinik swasta akan dikaji.

“Menteri Kesihatan telah memaklumkan persiapan kertas Jemaah Menteri telah dibuat dan dalam edaran, jadi kita jangka dalam tempoh satu ke dua minggu, hal ini akan dibawa semula ke Jemaah Menteri untuk diputuskan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar mingguan pasca mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Tambah beliau, susulan himpunan aman para pengamal perubatan itu juga, beberapa langkah segera telah dibuat oleh KKM untuk memastikan pelaksanaan dasar dan pemaparan harga ubat itu dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Semalam, kira-kira 200 doktor dan pengamal perubatan berhimpun di Laman Perdana berhampiran Bangunan Perdana Putra di sini, bagi membantah penggunaan Akta 723 berkaitan mewajibkan klinik swasta dan farmasi mempamerkan harga ubat-ubatan.

Mereka mula berhimpun kira-kira pukul 9.30 pagi sebelum 10 daripada peserta diketuai wakil Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr R Thirunavukarasu memasuki Bangunan Perdana Putra bagi menyerahkan memorandum kepada wakil Pejabat Perdana Menteri (PMO). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here