Masing-masing ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM.

GEORGE TOWN – Dua penjawat awam sebuah majlis perbandaran di Pulau Pinang dan seorang pemilik syarikat direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki terlibat kegiatan rasuah membabitkan tender projek pemasangan lampu isyarat dan lampu jalan sejak 2016.

Perintah tahanan reman terhadap ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 30 hingga 40-an itu dikeluarkan oleh Pegawai Pendaftar Mahkamah Majistret Georgetown, Muhammad Azam Md. Eusoff selepas permohonan dibuat SPRM semalam.

Dua penjawat awam terbabit, masing-masing seorang lelaki dan wanita direman selama empat hari sehingga 9 Mei ini manakala pemilik syarikat itu pula, direman dua hari sehingga hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009.

Menurut sumber, ketiga-tiga suspek ditahan di Pejabat SPRM Pulau Pinang antara jam 1 tengah hari hingga 4 petang pada Isnin lalu, ketika hadir untuk memberi keterangan.

Kesemua suspek dibawa untuk mendapatkan permohonan reman di Mahkamah George Town semalam.

“Siasatan awal mendapati beberapa pemilik syarikat telah memberi rasuah kepada beberapa penjawat awam di sebuah majlis perbandaran sebagai balasan membantu mereka mendapatkan tender projek terbabit.

“Malah, permohonan tender tersebut dikatakan mengandungi butiran matan palsu, namun tetap diluluskan tanpa sebarang semakan oleh pihak berkuasa terlibat.

“Kedua-dua penjawat awam dipercayai telah menerima suapan antara RM3,000 hingga RM5,000 sejak tahun 2016 tanpa membuat semakan terhadap dokumen yang dihantar pemilik syarikat terlibat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Idris Zaharudin ketika dihubungi hari ini mengesahkan tangkapan ketiga-tiga suspek berkenaan.

“Operasi ini adalah sebahagian daripada usaha SPRM membanteras gejala rasuah dalam agensi kerajaan, khususnya di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), bagi mengelakkan syarikat yang tidak layak diberikan projek sehingga menjejaskan pelaksanaan kemudahan awam,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here