Bekas Timbalan Yang di Pertua Dewan Negara dan bekas Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad bercakap pada sidang media mengenai video tular pemimpin Melaka di Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 01 MEI 2025

KUALA LUMPUR – Polis sepatutnya telah mengambil tindakan ke atas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berhubung isu audio yang tular di media sosial baru-baru ini mirip suaranya.

Bekas Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Negara, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, ini kerana dua saksi yang terlibat dalam audio itu sudah membuat laporan polis dan siasatan telus diperlukan sebagai keadilan kepada semua pihak.

Menurut beliau, sebagai pemimpin utama negeri, Abd Rauf perlu menunjukkan contoh yang baik selaras dengan slogan yang diperkenalkannya di Melaka itu iaitu ‘bijaksana laksana Tuah, berani laksana Jebat’.

“Penyiasatan ini mestilah telus, pada saya mudah, kalau saya tidak belajar undang-undang pun saya boleh faham, buktinya ada, saksinya ada, yang menerima rasuah pun sudah mengaku menerima rasuah tersebut, yang menyampaikan rasuah tersebut pun saya dapat pengetahuan juga telah memberitahu kepada pihak yang sepatutnya mengambil keterangan tersebut.

“Jadi saya tidak nampak mana satu ruang yang boleh pihak PDRM untuk tidak mengambil tindakan, saya sudah buat cabaran kepada Rauf bahawa bukan penafian yang sepatutnya dilakukan tetapi yang utama sebagai pemimpin tertinggi di Melaka, beliau mesti tunjukkan contoh bahawa perkara-perkara sebegini perlu diserahkan kepada pihak polis, ini tanggungjawab beliau yang pertama,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Minggu lalu, Ab Rauf dicabar supaya membuat laporan polis sekiranya benar audio yang tular di media sosial baru-baru ini, bukan suaranya.

Mohamad Ali berkata, penafian menerusi sidang media tidak memadai untuk menyangkal dakwaan yang bertebaran baru-baru ini.

Audio 57 saat itu berlegar sehari selepas Ketua Menteri Melaka tersebut menafikan ada kaitan dengan penahanan Mohamad Ali yang juga merupakan Timbalan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pada 15 April lalu.

Bekas Timbalan Yang di Pertua Dewan Negara dan bekas Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad (kiri) pada sidang media hari ini.

Mohamad Ali turut membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi, melibatkan audio itu yang dianggapnya merupakan konspirasi jahat untuk menjatuhkannya.

Beliau turut menamakan tiga nama individu dalam audio tersebut dalam laporan polisnya.

Mengulas lanjut, peguam Mohamad Ali Mohamad iaitu Rafique Rashid Ali turut mengesahkan bahawa dua orang saksi tampil membuat laporan polis berhubung satu rakaman audio yang mengaitkan diri anak guamnya dalam konspirasi politik yang didakwa melibatkan Ab Rauf.

Beliau berkata, laporan polis oleh dua individu tersebut masing-masing dibuat pada 4 dan 5 Mei di Balai Polis Batang Tiga, Melaka.

Selain itu katanya, saksi yang terlibat secara langsung dalam kes tersebut turut memohon perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

“Kedua-dua saksi tersebut telah pun secara rela hati membuat laporan polis dan pada masa sama memohon perlindungan di bawah akta perlindungan pemberi maklumat 2010 akta 711.

“Saksi-saksi secara jelas telah pun mengesahkan permohonan mereka di dalam kedua-dua laporan polis tersebut dan mereka memohon untuk mendapat perlindungan di bawah akta tersebut.

“Dalam kes ini PDRM mesti memberi perlindunngan keselamatan, kita sahkan setakat ini kedua-dua saksi tersebut memang ada, kedua dua saksi ini memang wujud dan telah pun membuat laporan polis masing-masing pada 4 dan 5 Mei di Melaka,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here