KUANTAN – Statistik menunjukkan seorang dari 10 ibu di negara ini mengalami gejala kemurungan dan rata-rata mereka tidak menyedarinya.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan, dan Kesihatan Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim berkata, statistik itu oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) berdasarkan hasil hasil Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi atau National Health and Morbidity Survey (NHMS): Maternal and Child Health tahun 2022.
Menurutnya, hasil dapatan tersebut mendapati anggaran 9,415 ibu mengalami kemurungan selepas melahirkan anak iaitu bersamaan 11.2% di seluruh Malaysia.
”Masalah kesihatan mental ibu sering dikaitkan dengan gangguan seperti kemurungan postpartum (post-partum depression), kebimbangan berlebihan (anxiety) dan tekanan emosi yang berpanjangan.
”Secara terperinci statistik sebenar bagi kesihatan mental berkaitan ibu mengandung, bersalin dan ibu tunggal bagi negeri Pahang tidak dapat diperoleh secara tepat,” katanya kepda MalaysiaGazette hari ini.
Razali berkata, kadar kemurungan berlaku lebih tinggi dalam kalangan mereka yang tinggal di bandar dan ibu-ibu muda.
Namun sehingga kini, tiada lagi kematian disebabkan masalah kesihatan mental dalam kalangan ibu yang dilaporkan.
Razli memaklumkan Kementerian Kesihan (KKM) telah penubuhan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan atau National Centre of Excellence for Mental Health (NCEMH) yang telah ditubuhkan 22 Oktober 2022.
Malah JKNP juga turut bekerjasama erat bersama badan-badan bukan kerajaan seperti National Council of Women’s Organisations (NCWO) dalam menyebarluas pendidikan kesihatan berkaitan dengan kesihatan mental, termasuklah kesihatan mental di kalangan ibu.
Antara aktiviti dan inisiatif yang giat dilaksanakan peringkat negeri mahupun daerah adalah pemberian perkhidmatan penjagaan kesihatan selepas bersalin (post-natal care).
Ia dilakukan oleh anggota KKM di lapangan dalam tempoh enam minggu selepas kelahiran yang turut merangkumi penilaian symptom kemurungan/psikosis ibu.
Selain itu, kempen kesedaran menyebarkan maklumat melalui media sosial, seminar dan bengkel.
KKM telah pun melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menangani permasalahan kesihatan mental dalam negara.
Untuk rekod, Rabu pertama Mei ini merupakan sambutan Hari Kesihatan Mental ibu Sedunia di mana jatuh pada hari ini 7 Mei 2025. – MalaysiaGazette