KUALA LUMPUR – Setiausaha Wanita DAP Selangor, Nalina Nair Rama Krishnan kekal dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan merusuh dan berkelakuan tidak senonoh di sebuah balai polis, empat tahun lalu.
Keputusan itu ditentukan oleh Mahkmah Tinggi di sini hari ini selepas pihak pendakwaan menarik balik rayuannya.
Sehubungan itu, Hakim Datuk Muhammad Jamil Husin membatalkan rayuan berkenaan dan mengekalkan keputusan Mahkamah Majistret yang melepas dan membebaskan wanita itu, dua tahun lalu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad memaklumkan pihaknya menarik balik rayuan tersebut manakala peguam Farida Mohamad yang mewakili Nalina memberitahu mahkamah, pihaknya tidak membantah.
Pada 10 Ogos 2023, Mahkamah Majistret melepas dan membebaskan Nalina tanpa perlu dipanggil membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.
Nalina didakwa melakukan kesalahan itu di lobi Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini, pukul 9 malam, 19 Ogos 2021.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 94 akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM500 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Nalina ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata beliau merakamkan penghargaan kepada pasukan peguam yang disifatkan luar biasa dan mempertahankan kesnya dengan penuh komitmen dan keberanian.
Katanya, keputusan itu adalah hasil usaha gigih mereka yang terus mempertahankan hak asasi dan kebebasan rakyat. – MalaysiaGazette