KUALA LUMPUR – Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail wajar membuat pengumuman rasmi tidak akan bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pemilihan hujung bulan ini.
Ia kata pemerhati politik, Azizi Safar, selepas Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar mendapat sokongan tidak berbelah bahagi daripada akar umbi PKR seluruh negara untuk merebut jawatan tersebut.
Menurut beliau, selain hampir semua Cabang PKR di Selangor dan Johor yang menyokong Nurul Izzah, sokongan terbuka kepada bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu turut disuarakan oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Adam Adli Abdul Halim dan Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek.
“Habis siapa yang tinggal sokong Rafizi Ramli atau Saifudin Nasution?
“Macam ni punya sokongan untuk Nurul Izzah, Saifudin Nasution elok buat pengumuman tak akan bertanding jawatan Timbalan Presiden,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Sementara itu, tambah Azizi, penyandang Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli juga wajar mengumumkan untuk tidak mempertahankan jawatannya itu, sebaliknya mencadangkan supaya Menteri Ekonomi berkenaan mencabar jawatan Presiden.
“Apa kata jika Rafizi Ramli umum bertanding jawatan Presiden? Alang-alang dah nak terkeluar daripada barisan kepimpinan tertinggi, biarlah kalah lawan Presiden,” katanya.
Di sebalik sokongan padu supaya merebut jawatan Timbalan Presiden, Nurul Izzah sehingga kini bagaimanapun tidak membuat keputusan jelas sama ada mahu menyahut seruan akar umbi PKR berkenaan atau sebaliknya.
Bagaimanapun, Rafizi sebelum ini sudah mengesahkan akan mempertahankan jawatan itu dan turut mendapat persetujuan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya beliau diberikan laluan mudah.
Sementara itu, Saifuddin Nasution yang pada pemilihan lalu tewas kepada Rafizi setakat ini juga belum membuat keputusan rasmi sama ada mahu bertanding atau sebaliknya. – MalaysiaGazette