KUALA LUMPUR – Sekolah Kebangsaan Shah Alam berjaya dinobatkan johan kategori Inovasi Sekolah Rendah dalam Pertandingan SciFusion Kebangsaan 2025 di Kolej Pendeta Za’ba, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi baru-baru ini.
Empat muridnya di bawah bimbingan guru mentor, Shahrul Asyraf Suhaimi berjaya memukau juri dengan projek inovasi pendidikan bertajuk FonikAR, sebuah aplikasi bahan bantu mengajar berasaskan realiti terimbuh (Augmented Reality).
Yang dipertuanya, Mohd Dendera Billah Zamzuri berkata, FonikAR dibangunkan bagi menyokong dua keperluan utama pendidikan negara iaitu penguasaan kemahiran asas 3M (membaca, menulis, mengira) dalam kalangan murid sekolah rendah.
“Aplikasi ini dibangunkan untuk menyahut seruan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mendigitalkan pendidikan melalui Dasar Pendidikan Digital.
“Ia membolehkan pengguna mengimbas kad imbas dan melihat huruf dalam bentuk 3D, lengkap dengan contoh perkataan dan bunyi fonik.
“FonikAR sesuai digunakan di sekolah mahupun di rumah serta mesra murid pendidikan khas,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sebelum ini, Pertandingan SciFusion Kebangsaan 2025 disempurnakan Dekan Fakulti Sains dan Teknologi UKM, Prof. Dr. Ishak Ahmad manakala majlis penutupan dirasmikan Timbalan Pengetua Kolej Pendeta Za’ba, Muhammad Hamiduddin Saat.
Untuk rekod, FonikAR telah dibentangkan peringkat kebangsaan dalam Seminar Buku Teks berkaitan Kurikulum 2027, dan turut dipersembahkan di pentas antarabangsa termasuk di Semarang dan Jakarta, Indonesia serta di Mumbai, India.
Aplikasi itu juga memenangi anugerah Inovasi Terbaik dalam dua pertandingan antarabangsa serta meraih lapan pingat emas di pelbagai pertandingan inovasi di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
Menurut Mohd Dendera, FonikAR juga menggabungkan pendekatan fonik tradisional dengan teknologi AR yang moden dan futuristik.
“Kami cuba hasilkan satu pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan dan inklusif sesuai untuk semua murid tak kira latar belakang atau keupayaan.
“Kemenangan itu bukan sahaja membuktikan kehebatan murid-muridnya bahkan hasil usaha gigih guru dan semangat pasukan yang luar biasa,” katanya.
Selain itu, Dendera berkata, pihaknya dalam proses tapisan pertama bersama Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bagi mendapatkan perlindungan hak cipta dan bercadang meluaskan penggunaan FonikAR di seluruh negara.
“Pihak sekolah turut merancang menyertai lebih banyak pertandingan inovasi pada masa akan datang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette