KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi secara sinikal menyifatkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin `cepat longlai’ susulan kenyataan slogan “Saya Melayu dahulu, baru Malaysia” sudah tidak lagi relevan.
Sedangkan, katanya, tidak ada salah untuk slogan itu dipertahankan kerana ia bukan berunsur perkauman atau mengajak kepada pembersihan kaum.
Sebaliknya, ujar beliau, slogan itu adalah berkenaan identiti, budaya dan nilai asal usul yang mana tidak menjadi halangan untuk mana-manan kaum menjaga identiti masing masing.
“Itulah sumber kekuatan Malaysia yang berbilang kaum. Kenapa Muhyiddin takut? “Malay First” adalah penuh toleransı dan tidak menghalang kongsi kuasa. Ia melahirkan “kontrak sosial”. Sebab itu sekolah vernakular masih kekal di Malaysia. Muhyiddin takut bayang-bayang sendiri.
“Malay First” tidak kontradik dengan Artikel 153. Ia penyumbang kepada kesaksamaan dan keadilan sosial,” katanya menerusi laman sosial Facebook hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Muhyiddin ketika berucap pada Festival Perpaduan India di Pusat Konvensyen Midlands, Shah Alam pada 4 Mei lalu berkata, pandangan lamanya mengenai keutamaan identiti Melayu kini tidak lagi relevan dalam konteks semasa.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, beliau kini merupakan pemimpin yang mengambil berat terhadap semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan menegaskan komitmen PN untuk berlaku adil kepada semua.
Bagaimanapun, pendirian Muhyiddin itu dipersoalkan beberapa pihak antaranya Veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang serta Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh yang menyifatkan Presiden Bersatu berkenaan sanggup berubah demi kuasa. – MalaysiaGazette