KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan agensi itu tidak wajar dipersalahkan berhubung kehilangan Datin Seri Pamela Ling Yueh kerana kejadian tersebut berlaku di luar bidang kuasa dan kawasan kendalian pihaknya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kehilangan Pamela pada 9 April lalu tidak seharusnya dikaitkan dengan kegagalan agensi itu memberikan perlindungan kerana tiada sebarang ancaman awal terhadap keselamatannya sebelum kejadian berlaku.
“Orang ramai tidak boleh menyalahkan SPRM kerana kejadian berlaku di jalan awam dan bukan dalam kawasan SPRM, ia di luar kawalan kami.
“Malah tiada sebarang petanda awal yang menunjukkan wujud ancaman terhadap keselamatan beliau sebelum kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Azam, tiada sebarang insiden yang mencurigakan berlaku sepanjang kehadiran Pamela ke Ibu Pejabat SPRM bagi membantu siasatan kes pengubahan wang haram.
Dalam pada itu, beliau turut meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada pihak polis menjalankan siasatan secara menyeluruh.
“SPRM akan terus memberikan kerjasama penuh kepada polis dalam siasatan kehilangan individu berprofil tinggi itu malah pegawai penyiasat kami yang mengambil keterangan beliau juga telah memberi kenyataan kepada polis,” tambahnya.
Semalam, media melaporkan bahawa siasatan polis kini tertumpu kepada suami mangsa dan beberapa individu lain yang disyaki terlibat dalam kehilangan Datin Seri Pamela Ling Yueh itu. – MalaysiaGazette