Pesuruhjaya Suhakam mengadakan sidang media di Kuala Lumpur bagi mengumumkan hasil siasatan kematian banduan Penjara Pokok Sena, Kedah dan tahanan di Depot Imigresen Bukit Jalil. 7 MEI 2025

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengesyorkan inkues dijalankan bagi menyiasat punca kematian seorang banduan Penjara Pokok Sena, Kedah dan seorang tahanan Depot Imigresen Bukit Jalil, tahun lalu.

Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Penjara Malaysia turut dicadang membuat semakan terhadap kualiti keseluruhan perkhidmatan kesihatan di Penjara Pokok Sena dan tempat-tempat tahanan yang lain.

Kumpulan Aduan dan Pemantauan Suhakam berkata, inkues itu bagi menentukan sama ada wujudnya elemen jenayah atau kecuaian berhubung kematian Mohd. Zaidi Abdul Hamid di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada 7 Oktober 2024.

Sementara itu, warganegara Pakistan Jamshed Ahmed dilaporkan meninggal dunia di Depot Imigresen Bukit Jalil pada 15 Januari 2024.

Pesuruhjaya Suhakam, Profesor Datuk Noor Aziah Mohd. Awal berkata, banduan akhir berusia 49 tahun itu sedang menjalani hukuman penjara 33 tahun dan telah menjalani hukuman 12 sebatan pada 25 September 2024.

Ujar beliau, hasil siasatan Suhakam mendapati, dakwaan penama tidak mendapat rawatan yang sewajarnya adalah berasas, khususnya selepas pelaksanaan hukuman sebatan dan luka di bahagian punggung penama berada dalam keadaan yang teruk dan bernanah.

“Setelah meneliti hasil bedah siasat, penama mempunyai nanah yang teruk disebabkan jangkitan kuman dan jangkitan tersebut telah merebak ke bahagian celah paha dan tiada sebarang tanda-tanda rawatan yang dapat dikenalpasti semasa proses bedah siasat.

“Luka di bahagian punggung penama juga tidak kelihatan bersih dan keadaan luka yang bernanah hanya boleh berlaku sekiranya luka tersebut tidak dicuci atau dirawat,” ujar beliau pada sidang akhbar Suhakam bagi mengumumkan hasil siasatan kematian kedua-duanya.

Sidang akhbar itu turut dihadiri oleh Pesuruhjaya-Pesuruhjaya Datuk Mariati Robert, Dr. Chew Chee Ming dan Nazira Abdul Rahim.

Noor Aziah selanjutnya berkata, Suhakam turut mendapati penama tidak mendapat sebarang intervensi perubatan yang signifikan terhadap lukanya kerana luka yang bernanah biasanya akan dirawat dengan antibiotik, namun ia tidak diberikan.

Selain itu, Suhakam turut mendapati, rawatan susulan di Penjara Pokok Sena diberikan oleh banduan bekerja yang turut disahkan oleh rakan sel penama.

“Banduan kerja yang bertugas juga mengesahkan mereka telah memberikan rawatan kepada penama dan antara tugas banduan yang bekerja adalah untuk mengambil ujian darah tinggi dan kencing manis serta mencuci luka banduan yang sakit.

“Tugas ini dilaksanakan dengan kehadiran Penolong Pegawai Perubatan (MA) atau kadangkala tanpa kehadiran MA,” ujarnya.

Hasil siasatan Suhakam turut menunjukkan, banduan di situ sukar untuk mendapatkan rawatan di Klinik Penjara Pokok Sena dan terpaksa menunggu giliran manakala ubatan yang kerap diberikan adalah panadol.

Sehubungan itu, Suhakam mengesyorkan Kerajaan Malaysia melarang hukuman sebatan dengan menghapuskan semua undang-undang domestik sivil dan syariah yang membenarkan pelaksanaan hukuman sebatan yang bercanggah dengan
prinsip hak asasi manusia antarabangsa.

Sementara itu, Mariati berkata, Jamshed ditahan semasa serbuan Jabatan Imigresen Malaysia di rumahnya di Bukit Sentosa, Rawang pada 6 Januari 2024 dan ditahan di Depot Imigresen Bukit Jalil.

Ujar pesuruhjaya Suhakam itu, penama didapati tidak sihat dan sangat lemah ketika berada di dalam sel dan telah dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz pada 9 Januari 2024 sebelum dilaporkan meninggal dunia, enam hari kemudian.

Katanya, dakwaan penama yang menghidap kencing manis dan memerlukan insulin setiap hari namun dinafikan rawatan oleh Imigresen, adalah berasas.

Ujar beliau, dapatan Suhakam diperoleh hasil keterangan pengadu, rakan tangkapan, anggota dan kakitangan Depot Imigresen Bukit Jalil serta pegawai perubatan hospital berkenaan.

Katanya, Suhakam telah menghantar laporan siasatan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 26 Jun 2024 dengan mengesyorkan agar inkues dijalankan.

Menurut beliau, satu surat susulan telah dikeluarkan pada 10 September 2024 untuk mendapatkan maklumbalas mengenai tindakan yang diambil, namun hingga kini tiada sebarang jawapan diterima. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here