Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA – Tidak timbul isu nepotisme sekiranya Nurul Izzah Anwar bertanding jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) memandangkan beliau sekarang merupakan Naib Presiden PKR.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil berkata, PKR meraikan demokrasi dan menyerahkan kepada kebijaksanaan ahli-ahlinya untuk memilih pemimpin yang dirasakan layak dan sesuai dengan harapan serta aspirasi mereka bagi penggal kepimpinan 2025-2028.

“Tak pernah (wujud nepotisme dalam PKR), Nurul Izzah sekarang pun Naib Presiden, jadi tidak timbul apa-apa perkara (isu),” katanya dalam sidang akhbar mingguan pasca mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi ditanya berkenaan dakwaan sesetengah pihak wujudnya amalan nepotisme dalam PKR susulan desakan supaya Nurul Izzah bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden PKR hujung bulan ini.

Ia susulan bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih lagi Presiden PKR yang akan menyaksikan kedua-dua mereka memegang jawatan nombor satu dan nombor dua dalam parti sekiranya Nurul Izzah memenangi jawatan Timbalan Presiden kelak.

Terdahulu, dalam satu kenyataan bersama PKR Wilayah Persekutuan, Fahmi yang juga Ketua Cabang Lembah Pantai turut menyatakan sokongan kepada Nurul Izzah untuk merebut jawatan tersebut.

Menurut kenyataan itu, PKR Wilayah Persekutuan mempunyai keyakinan teguh Nurul Izzah bakal menerima sokongan padu selaku figura utama yang akan memberi nafas baharu dalam menguatkan jentera parti dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

Tambahnya, sebagai penggerak utama kempen Ayuh Malaysia, Nurul Izzah berjasa besar menghidupkan semangat anggota di seluruh negara serta menjadi watak pendamai bagi menyatukan PKR sebagai satu keluarga besar yang akhirnya berjaya merealisasikan kemenangan parti untuk memerintah negara pada hari ini.

“Sokongan ini bukanlah atas nama hubungan atau nostalgia sejarah perjuangan semata, tetapi atas keyakinan terhadap kapasiti dan integriti beliau sebagai pemimpin masa depan parti.

“Keadilan memerlukan sosok seperti Nurul Izzah yang mempunyai diplomasi yang tinggi untuk merapatkan saf dan menyatukan kekuatan dalaman serta memperkukuh jalinan bersama rakan-rakan gabungan.

“Insya-Allah langkah berani ini akan disahut oleh seluruh kepimpinan dan anggota parti untuk bergerak maju membawa harapan rakyat untuk Malaysia yang lebih baik untuk semua,” demikian menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, di sebalik sokongan padu supaya merebut jawatan Timbalan Presiden itu, Nurul Izzah sehingga kini tidak membuat keputusan jelas sama ada mahu menyahut seruan akar umbi PKR berkenaan atau sebaliknya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here