KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi menasihatkan rakyat Malaysia supaya menangguhkan semua perjalanan tidak penting ke India buat masa ini.

Nasihat itu membabitkan perjalanan untuk bercuti atau bertujuan bukan mendesak yang lain terutama di negeri-negeri bersempadan dengan Pakistan.

“Susulan serangan rentas sempadan antara India dan Pakistan, yang mana India melancarkan Operasi Sindoor ke atas Pakistan pada 7 Mei, Suruhanjaya Tinggi menasihatkan agar semua perjalanan tidak penting ke India ditangguhkan segera,” menurutnya melalui platform X.

Dalam pada itu, rakyat Malaysia yang berada di India dinasihatkan supaya mendaftar dengan Suruhanjaya Tinggi dan memaklumkan kehadiran mereka melalui e-mel ke alamat mwdelhi@kln.gov.my.

Untuk bantuan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi menerusi talian +90 11 2415 9300 atau +90 11 2415 9311 (talian umum/bilik operasi), serta +90 85 9555 0564 (pegawai bertugas dari 4.30 petang hingga 8 pagi).

Menurutnya, keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia sentiasa menjadi keutamaan.

Suruhanjaya Tinggi itu turut meminta rakyat Malaysia supaya sentiasa peka terhadap perkembangan semasa dan berhati-hati pada setiap masa.

Sementara itu, Bernama melaporkan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad pada Rabu menasihatkan rakyat Malaysia supaya tidak melakukan perjalanan tidak penting ke Pakistan susulan ketegangan ketenteraan di Asia Selatan.

Suruhanjaya itu memaklumkan, pihaknya sedang memantau rapi keadaan semasa di Pakistan susulan serangan peluru berpandu oleh India ke atas Wilayah Pakistan dan Kashmir yang ditadbir Pakistan pada awal Rabu.

“Suruhanjaya Tinggi sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi mendapatkan maklumat lanjut serta memastikan keselamatan rakyat Malaysia di negara ini. Rakyat Malaysia di kawasan terjejas juga dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan serta arahan terkini daripada pihak berkuasa tempatan,” menurut kenyataan itu.

“Sehubungan itu, rakyat Malaysia dinasihatkan menangguhkan semua perjalanan yang tidak penting ke Pakistan,” katanya lagi.

Ketegangan antara India dan Pakistan yang meningkat sejak bulan lepas memuncak pada awal Rabu susulan laporan mengenai serangan udara rentas sempadan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here