PUTRAJAYA – Tiada gunanya Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh memanggil negara ini sebagai Tanah Melayu sekiranya pemimpin Melayu yang menganggotai kerajaan masih lemah dan tunduk kepada bangsa lain.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof berkata, lebih memalukan apabila orang Melayu tidak mempunyai kuasa dominan di dalam kerajaan.
“Adalah memalukan memanggil negara ini Tanah Melayu ketika orang Melayu tidak mempunyai kuasa politik yang kuat dan besar di dalam kerajaan.
“Di saat UMNO terpaksa tunduk kepada DAP dalam banyak perkara dan di saat ini orang Melayu tiada kuasa dominan di dalam kerajaan, maka tiada makna memanggil negara ini Tanah Melayu.
“Adalah sesuatu yang memalukan apabila Dr Akmal masih memanggil ini Tanah Melayu sedangkan orang Melayu tidak berkuasa dan terpaksa tunduk kepada bangsa lain,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Ahad lalu, MalaysiaGazette melaporkan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu berkata, Malaysia selamanya merupakan Tanah Melayu dan perkara itu tidak akan berubah.
Dr Akmal berkata, sebagai warganegara Malaysia, semua rakyat sepatutnya memahami Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.
Manakala Perkara 153 pula memberikan Yang di-Pertuan Agong tanggungjawab untuk menjaga kedudukan istimewa ‘Melayu dan penduduk asli mana-mana Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah komuniti lain.
Dr Aleef juga berkata, keadaan itu tidak berlaku ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menggalas jawatan Perdana Menteri selama 22 tahun.
“Orang Melayu ketika zaman Tun Dr Mahathir sungguh dominan dengan kesatuan yang kuat dalam kerajaan dan tidak perlu tunduk kepada bangsa lain.
“Kini orang Melayu berpecah-belah, banyak parti politik Melayu tetapi tidak bersatu, sibuk cari kesalahan antara satu sama lain.
“DAP bijak mengambil peluang mengukuhkan kedudukan bangsa lain dalam kerajaan, maka Tanah Melayu tidak membawa makna apa-apa,” katanya.
Bagaimanapun kata Dr Aleef, orang Melayu boleh kembali menjadi dominan di dalam kerajaan sekiranya parti-parti Melayu khususnya UMNO meninggalkan DAP dan Pakatan Harapan (PH).
“Kalau mahu mengembalikan negara ini sebagai Tanah Melayu, UMNO mesti tinggalkan DAP dan PH dan berjuang menyatukan semua parti Melayu serta bentuk kerajaan bersama yang didominasi oleh orang Melayu.
“Maka saat itu barulah negara ini boleh dianggap kekal sebagai Tanah Melayu. Jika tidak, panggilan Tanah Melayu tidak membawa apa-apa makna kerana bangsa lain yang lebih berkuasa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette