UMNO perlu sentiasa berwaspada dengan taktik agenda tersembunyi daripada pemimpin Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang penuh dengan tipu muslihat.
Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kota Bharu, Mohammad’ Irfan Mohd Halmi berkata, kenyataan pemimpin Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung hasrat untuk menjalinkan kerjasama semula bersama UMNO sebagai tidak ikhlas dan mempunyai maksud yang penuh tersurat dan tersirat.
“Ia merujuk kepada kenyataan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ketua Pemuda Pas Afnan Hamimi Taib Azamudden bahawa parti itu terbuka untuk bekerjasama dengan UMNO kerana parti itu berkongsi asas ideologi yang sama,”.
Irfan berkata, usaha yang cuba ditunjukkan oleh pemimpin kedua-dua parti itu dilihat hanya bersifat retorik politik semata-mata tanpa kejujuran sebenar dalam memperjuangkan agenda penyatuan ummah.
Tetapi, ia seolah-olah seperti ‘ada udang di sebalik batu’, walaupun mungkin berniat baik, namun sukar untuk menilai kejujuran yang sebenar mereka dalam bersahabat kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali.
Lagipun, katanya, UMNO sudah pengalaman dengan Pas dan Bersatu.
“Mereka lupa sebelum ini mereka pernah ada kerjasama (dengan UMNO), tapi mereka (Pas dan Bersatu) mengkhianati asas ideologi perjuangan tersebut demi kepentingan agenda peribadi dan tamakkan kuasa semata-mata sehingga pecah belahkan keluarga, masyarakat, dan negara.
“Sekarang mereka cuba ajak UMNO untuk kerjasama kembali, persoalan saya apakah pemimpin dalaman Pas dan Bersatu kini sedang bergolak berebut kuasa mencari talian hayat,” soal beliau.
Beliau berkata, UMNO mempunyai maruah dan harga diri serta prinsip dan sentiasa terbuka dalam sebarang usaha untuk berunding ke arah kerjasama yang akan memberikan manfaat kepada ummah dan negara.
Malangnya keikhlasan UMNO ketika itu telah dikhianati dan difitnah oleh kawan dan lawan dalam Pas dan Bersatu yang bermotifkan dendam politik yang telah dirancang sejak sekian lama untuk mereka berkuasa.
“Saya tidak fikir mereka ikhlas dalam buat tawaran itu kerana sebelum ini pemimpin mereka (Pas dan Bersatu) pernah menikam UMNO dari belakang, orang-orang seperti ini saya sifatkan sebagai musuh dalam selimut.
“Jaga-jagalah kerana mereka cuba menjaja lampu baharu untuk mendapatkan lampu lama yang ajaib itu dan dengan mencuri lampu lama yang ajaib ini mereka dapat menguasai parti kita iaitu UMNO dan seterusnya memegang kuasa dalam negara kita ini,” tambahnya. – MalaysiaGazette