Riezman Khuzaimi

PASIR GUDANG – Pelakon, Riezman Khuzaimi menyifatkan wajah abang iparnya, Rennie Abdul Ghani yang maut selepas terjatuh di Gunung Rinjani, Pulau Lombok, Indonesia pada Sabtu lalu seperti sedang tidur walaupun sudah meninggal dunia lima hari lalu.

Aktor berusia 55 tahun itu mendedahkan perkara tersebut selepas menatap wajah arwah yang tiba di rumahnya di D’Sierra Ville, Taman Sierra Perdana di sini awal pagi tadi.

“Wajah Allahyarham Rennie sangat tenang seperti sedang tidur walaupun kita tahu dia sudah meninggal dunia sejak Sabtu lalu.

“Tadi bila jenazah sampai bawa pulang ke rumah sebab isteri allahyarham nak tengok sangat wajahnya, kita buka kain kafan dan lihat wajah allahyarham memang nampak sangat-sangat macam orang tidur. Sangat tenang,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui selepas selesai upacara pengkebumian di Tanah Perkuburan Islam Mutmainnah, Cahaya Masai di sini pukul 7.20 pagi tadi.

Riezman berkata, keluarganya bersyukur kerana perjalanan membawa pulang Allahyarham berjalan lancar menerusi penerbangan kargo dari Indonesia sehingga ke kediamannya di sini.

“Alhamdulillah urusan membawa jenazah keluar dari kargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang semuanya berjalan lancar, tiada kelewatan.

“Semua lega sebab kita menunggu jenazah dari hari Sabtu sejurus dapat berita allahyarham jatuh Sabtu tengahari hari ni sampai sudah berapa hari, tapi alhamdulillah jenazah cukup sempurna,” katanya.

Menurut Riezman, allahyarham juga adalah seorang rakannya yang berkongsi minat mendaki yang sama.

Katanya, sifat Rennie yang suka membantu orang, lebih-lebih lagi adik-beradik dan rakannya menjadikan kehilangan abang iparnya itu amat dirasai.

“Terlalu baik, arwah memang abang ipar saya dan sangat menjaga adik-beradiknya, walaupun isteri saya baru bertemu semula dengannya enam tahun lalu selepas terpisah sejak kecil.

“Saya juga rakan pendaki, cuma kali ini (trip Gunung Rinjani) saya tidak dapat menyertai sebab kekangan kerja,” katanya.

Terdahulu jenazah disembahyangkan  selepas solat Subuh diimamkan anak sulungnya, Mohamad Akashah Rennie di Surau Raudhatul Jannah, Taman Sierra Perdana, Masai.

Allahyarham yang bekerja sebagai jurutera meninggalkan seorang balu, Mastura Tawap, 53, dan tiga anak iaitu Mohamad Akashah, 29, Syafaatul Amirah, 28 dan Anisa Sofea, 20.

Terdahulu, van jenazah yang membawa jasad Allahyarham tiba di pekarangan rumah di Taman Sierra Perdana pukul 3 pagi.

Jenazah Allahyarham berlepas dari Lombok, Indonesia pada 6 petang sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pukul 9.26 malam tadi.

Kelmarin, media melaporkan jenazah Rennie selamat dibawa keluar dari lokasi pada 8.30 malam, Ahad lalu (waktu Malaysia) dan tiba di Hospital Bayangkara Mataram, Lombok pukul 11 malam.

Allahyarham dilaporkan maut selepas terjatuh di laluan Torean, Gunung Rinjani ketika melakukan pendakian di gunung berkenaan.

Pihak taman negara berkenaan menjelaskan mangsa dilaporkan terjatuh di kawasan Banyu Urip oleh seorang jurupandu daripada agensi pendakian, Juan Adventure Rinjani.

Mangsa memulakan pendakian melalui laluan Sembalun pada 1 Mei bersama-sama kumpulan seramai 23 orang pendaki.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Bapa kata ia adalah hiking yang terakhir, rupa-rupanya betul – Akashah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here