Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Johor, Muhammad Faezuddin Mohd Puad

JOHOR BAHRU – Seramai 16 ketua cabang Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor menyatakan sokongan terbuka terhadap pencalonan Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pemilihan bag penggal 2025-2018.

Menerusi satu kenyataan bersama-sama yang dikeluarkan Naib Ketua AMK Johor, Muhammad Faezuddin Mohd Puad, mereka percaya Nurul Izzah mempunyai pengalaman  lebih dua dekad dalam perjuangan reformasi.

“Beliau membawa gabungan idealisme, integriti dan keupayaan dasar yang diperlukan untuk memantapkan jentera parti di semua peringkat.

“Kepimpinan beliau diyakini mampu menjana keyakinan anak muda, pengundi atas pagar dan seluruh rakyat terhadap PKR dan Pakatan Harapan (PH),” katanya dalam kenyataan.

Antara ketua cabang yang menyatakan sokongan tersebut termasuk AMK Cabang Pulai yang beliau terajui; Ketua AMK Pasir Gudang, K Suria Vengadesh; Ketua AMK Pagoh, S Sharwin; Ketua AMK Muar, Muhamad Amirrul Shafiq dan Ketua AMK Parit Sulong, Shahrul Azuan Samat.

Ini termasuk Ketua AMK Pontian, Ambok Ahmad Jufri Yusupah; Ketua AMK Ledang, Mohamad Ghazali Mohamed; Ketua AMK Johor Bahru, Ahmad Ihsan Mohd Arif; Ketua AMK Sembrong, Hami Astafi Ab Halim; Ketua AMK Segamat, F S Raven Roy; Ketua AMK Tebrau, Jalex Lee; Ketua AMK Labis, Farhan Zulkefly; Ketua AMK Iskandar Puteri, R Logesan; Ketua AMK Simpang Renggam, K Navinraj; Ketua AMK Sekijang, Muhamad Hami Rifa’ie Ramli dan Ketua AMK Sri Gading, Muhammad Faris Akmal Fathun Nizam.

Faezuddin berkata, kehadiran Nurul Izzah dalam barisan utama kepimpinan bukan sekadar simbol penyatuan, tetapi pemangkin kepada pembaharuan strategi politik, komunikasi dan pengukuhan akar umbi yang amat penting menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Beliau yang juga Ketua PKR Cabang Pulai yakin, Nurul Izzah mempunyai kekuatan nilai dan prinsip selain mampu menjadi antara faktor penentu kejayaan PKR dan PH dalam mendapat semula mandat rakyat pada PRU16.

Datuk Seri Rafizi Ramli semalam mengesahkan akan terus mempertahan jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti itu hujung bulan ini.

Sejak kelmarin, pimpinan PKR peringkat cabang, negeri serta pusat menyatakan sokongan supaya Nurul Izzah mencalonkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Nurul Izzah melalui kenyataan semalam menegaskan akan membuat keputusan terbaik dalam mempertimbangkan cadangan akar umbi dan pimpinan parti itu, dengan mengambil kira soal penyatuan dan persepakatan dalaman parti.

Seorang lagi calon iaitu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut menunjukkan minat untuk bertanding jawatan tersebut.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here