KUANTAN – Adakah Penolong Setiausaha Publisiti DAPSY Kebangsaan bersikap anti-nasional dan buta sejarah berkaitan negara sendiri?
Itu pertanyaan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pahang, Mohd Kamil Ibrahim kepada Syaheera Ghafar yang menuduh Ketua Dr. Akmal Salleh bermain politik divide and conquer.
Ia katanya satu tuduhan liar dan berniat jahat selepas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia itu mengeluarkan kenyaatan tentang “Malaysia selamanya Tanah Melayu”.
Jelas Kamil, kenyataan tersebut dilihat tidak wajar sama sekali diseleweng atau dimanipulasi sebagai cubaan menafikan kewarganegaraan atau hak kaum lain di negara ini.
Malahan kenyataan itu adalah berteraskan fakta sejarah, realiti sosio-politik negara serta asas pembentukan Malaysia yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan khususnya melalui Perkara 152 dan 153.
”Yang sebenarnya mengancam perpaduan adalah mereka seperti yang lidah dua muka yang kononnya berpakaian progresif tetapi hakikatnya menjadi alat ideologi liberal ekstrem yang mahu menghapuskan ciri-ciri teras negara ini.
”Ini bukan naratif rasis tetapi kebenaran sejarah dan keadilan yang lahir daripada kontrak sosial yang telah disepakati oleh semua pihak ketika kemerdekaan.
“Syaheera Ghafar jelas dengan mudah menggelar kenyataan mempertahankan hak Melayu sebagai “tidak bertanggungjawab”. Ini bukan sahaja biadab tetapi juga satu bentuk pengkhianatan terhadap asas pembinaan negara ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Adakah mempertahankan kedudukan Melayu, Islam, Raja-Raja Melayu dan Bahasa Melayu sebagai tunggak negara ini satu dosa, soal Kamil.
Menurutnya, kaum lain tidak pernah dihalang untuk mengamalkan budaya dan agama masing-masing malah dilindungi di bawah Perlembagaan yang sama.
Maka mempertahankan identiti Melayu bukan sahaja wajar malah kewajipan bagi setiap anak bangsa yang faham akan asal usul negara ini.
”Menuduh Dr. Akmal kononnya bermain politik divide and conquer adalah tuduhan liar dan berniat jahat. Malaysia memang milik semua rakyat tetapi ia dibina atas asas yang jelas Melayu sebagai tunjang, Islam sebagai agama Persekutuan, Raja-Raja Melayu sebagai payung negara, dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,” ujarnya.
Beliau sekali gus menasihati Syaheera supaya tidak hilang jati diri untuk politik murahan setelah dijadikan boneka yang diperkudakan untuk mengaburi mata orang Melayu.
”Sebagaimana DAP ada ideologi memperjuangkan sesuatu kaum begitu juga kami tegak pertahankan agama bangsa kami. Buktikan DAP perjuangkan agama Islam dan hak orang Melayu sedangkan mereka berusaha keras mempertahankan hak kaum Cina.Jadi adakah kami rasis mempertahankan agama Islam dan bangsa Melayu?” soalnya lagi. – MalaysiaGazette