Yuneswaran

JOHOR BAHRU – Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran hari ini mengesahkan menawarkan diri sebagai calon Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi pemilihan parti 2025–2028, hujung bulan ini.

Yuneswaran berkata, sebagai anak muda yang telah bersama parti sejak awal usia, beliau percaya parti itu mesti menjadi jambatan antara idealisme generasi baharu dan kebijaksanaan generasi terdahulu.

Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) berkata, seseorang tidak boleh hanya menunggu perubahan berlaku sebaliknya harus menjadi sebahagian daripadanya.

“Saya hadir dengan hati yang tenang dan komitmen yang jelas iaitu untuk terus menyumbang secara lebih bermakna dalam kepimpinan tertinggi parti dan memastikan PKR kekal sebagai wadah perjuangan yang tulen, relevan dan diyakini rakyat Malaysia.

“Kepimpinan bukan soal gelaran, ia soal amanah. Saya dengan rendah hati memohon sokongan anda, bukan atas nama peribadi tetapi atas nama perjuangan yang kita junjung bersama,” katanya dalam kenyataan.

Yuneswaran yang juga bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor yang menyertai PKR sejak 17 tahun lalu, berpegang teguh pada prinsip bahawa politik bukan sekadar ruang untuk berkuasa, tetapi medan untuk berkhidmat.

“PKR adalah wadah perjuangan yang dipilih kerana ia membela yang tertindas, memperjuangkan keadilan dan membuka ruang kepada rakyat biasa untuk membina masa depan bersama,” ujarnya.

Beliau membesar dalam gerakan itu bermula dari kerja asas di peringkat cabang, memimpin program bersama-sama masyarakat, mendengar keluhan anak muda dan warga marhaen sehingga ke Dewan Rakyat sebagai wakil mereka.

Ujarnya, setiap langkah itu membentuk bukan sekadar sebagai pemimpin, tetapi sebagai penggerak yang setia kepada roh dan nilai perjuangan parti.

Dalam PKR katanya, beliau melihat harapan yang melangkaui batas kaum, usia dan kedudukan.

Jelasnya, PKR adalah parti yang dibina atas darah dan keringat mereka yang percaya bahawa negara ini boleh diselamatkan dengan integriti, keberanian dan keinsafan.

“Saya percaya bahawa kepimpinan parti mesti terus memperkukuh keterangkuman, memperjuangkan reformasi institusi, menjunjung prinsip kesederhanaan dan melahirkan lebih ramai pemimpin yang berani menegakkan kebenaran, walau dalam suasana yang paling mencabar,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here