KUALA LUMPUR – AmMetLife Insurance Berhad telah mengumumkan jumlah bayaran tuntutan kira-kira RM72.6 juta bagi polisi individu dari Januari hingga Disember 2024.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rangam Bir berkata, ia merangkumi RM35.9 juta bagi tuntutan kematian, RM30.9 juta bagi tuntutan perubatan, RM2.9 juta untuk manfaat penyakit kritikal dan RM2.5 juta bagi tuntutan hilang upaya menyeluruh dan kekal (TPD).
“Statistik tuntutan ini membuktikan komitmen teguh kami terhadap pemegang polisi dan janji kami untuk sentiasa bersama mereka ketika mereka paling memerlukan. Ia juga menyerlahkan nilai perlindungan insurans dalam membantu pelanggan mengharungi ketidaktentuan hidup,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, AmMetLife terus meningkatkan pengalaman tuntutan dengan proses digital yang dipermudahkan.
Pendekatan proaktif syarikat termasuk pelaksanaan penyerahan tuntutan secara digital, semakan status tuntutan dalam talian serta pemprosesan dan penjejakan tuntutan yang dipermudahkan bagi mengurangkan masa pemprosesan. -MalaysiaGazette