KAJANG – Penyerang Selangor FC, Faisal Halim meluahkan rasa kecewa apabila kes serangan asid ke atasnya pada Mei tahun lalu diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut atau No Further Action (NFA).
Peguamnya, Nik Zarith Nik Moustapha berkata, surat daripada
Jabatan Peguam Negara itu diterima pada 18 Februari yang menyatakan Polis Diraja Malaysia tidak dapat mengesan sebarang petunjuk yang dapat mengaitkan kes itu dengan mana-mana individu sebagai suspek.
“Surat tersebut juga menyatakan bahawa pihak PDRM segala usaha yang telah dijalankan bagi tujuan tersebut tidak membuahkan hasil.
“Ternyata bahawa anak guam kami berasa kecewa dengan hasil siasatan tersebut.
“Kami akan teruskan perbincangan dengan anak guam kami untuk menentukan langkah-langkah yang seterusnya,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Turut hadir seorang lagi peguam Faisal iaitu Mohd. Haijan Omar.
Pada 5 Mei lalu, media tempatan melaporkan Faisal disimbah asid di sebuah pusat beli-belah di Damansara, Petaling Jaya sehingga
mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan.
Mengulas lanjut, Nik Zarith berkata, pihaknya telah menghantar surat kepada Peguam Negara pada 15 April lalu yang menggesa kes pemain Harimau Malaya itu dibuka semula.
Katanya, Peguam Negara mempunyai kuasa mutlak agar kes itu tidak ditutup sekiranya terdapat perkembangan baharu siasatan.
Tegas beliau, langkah itu juga agar dapat memberi keadilan kepada Faisal sebagai mangsa.
“Sepanjang tempoh siasatan kes ini, pihak kami telah mengambil beberapa langkah proaktif bagi memastikan kes ini diberikan perhatian yang sewajarnya.
“Ini termasuklah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pegawai penyiasat PDRM untuk membantu mereka membuat siasatan menyeluruh berkenaan dengan kes ini.
“Selain itu, pihak kami juga menghantar beberapa surat kepada pihak berkuasa, antaranya surat kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Yang di-Pertua Dewan Negara, Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Peguam Negara untuk menggesa agar siasatan kes ini dipantau dan diberi kepentingan yang sewajarnya,” katanya. – MalaysiaGazette