JOHOR BAHRU – Kontroversi yang timbul semasa pemilihan peringkat cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini tidak akan mempengaruhi perjalanan Kongres Nasional PKR di sini pada 25 Mei ini.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yakin, kongres berkenaan yang akan diadakan Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada akan berjalan lancar dan tenang.
“Setiap parti ada gelora (masalah), itu biasa dalam politik. Kalau tenang sahaja air tidak akan mengalir (kalau PKR tiada ujian atau cabaran, parti tidak akan terus maju atau menjadi bertambah kuat).
“Ini parti yang mempunyai disiplin,” katanya ditanya tentang harapan dan sama ada isu-isu pemilihan cabang sebelum ini akan menjejaskan kelancaran Kongres Nasional PKR.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyerahkan rumah pam air di Kampung Belantik di sini hari ini.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Liow Cai Tung.
Hassan berkata, pemilihan Johor menjadi tuan rumah Kongres Nasional PKR pada kali ini adalah satu penghormatan.
Beliau yang juga bekas Pengerusi PKR Johor berkata, pemilihan itu juga kerana negeri ini dianggap penting dan barisan hadapan untuk parti tersebut dalam pilihan raya akan datang.
Pemilihan peringkat cabang PKR sebelum ini dilanda kontroversi apabila beberapa pihak mengemukakan bantahan kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) terhadap keputusan tersebut selepas tidak berpuas hati dan mendakwa berlaku ‘keanehan’.
Namun keputusan Pemilihan PKR 2025 bagi semua 220 Cabang di seluruh negara itu yang selesai baru-baru ini telah disahkan dan dimuktamadkan Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh berkata, MPP yang bermesyuarat berpuas hati dengan pembentangan JPP dan juruaudit digital antarabangsa mengenai keputusan peringkat Ahli Jawatankuasa, Wanita, dan Angkatan Muda Keadilan di kesemua Cabang.- MalaysiaGazette