KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan melaksanakan pelupusan ekshibit bernilai lebih RM276,000 yang dirampas menerusi tindakan penguatkuasaan Operasi Tiris (Ops Tiris).
Pengarah KPDN Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, pelupusan tersebut dijalankan di Kompleks Penyimpanan Ekshibit Seremban melibatkan barangan kawalan seperti minyak diesel yang disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Sebanyak tiga kertas siasatan yang telah selesai melalui kompaun membabitkan jumlah RM13,000. Nilai keseluruhan pelupusan ekshibit dianggarkan berjumlah RM276,035.00.
“Antara barangan yang dilupuskan ialah 45 unit tangki lut sinar (IBC), lima unit mesin pam beserta hos, satu unit skid tank berkapasiti 15,000 liter serta dua telefon bimbit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, selain daripada barangan tersebut, minyak diesel yang disita turut dilupuskan dengan hasil pulangan kepada kerajaan sebanyak RM15,527.90.
Pelaksanaan pelupusan perdana itu disaksikan Ketua Sub Seksyen Operasi KPDN Negeri Sembilan, Zamri Ahmad Siraj.
KPDN Negeri Sembilan menegaskan bahawa pihaknya komited menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap perundangan yang berada di bawah kawal selia kementerian.
“Pelaksanaan pelupusan ini juga memberi mesej jelas bahawa sebarang penyalahgunaan atau penyelewengan barang kawalan, terutamanya barangan bersubsidi, tidak akan dikompromi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette