PUTRAJAYA – Kementerian Kerja Raya (KKR) mengenal pasti lebih 2,000 lokasi cerun berisiko runtuh di seluruh negara, dengan 20 daripadanya diklasifikasikan sebagai sangat kritikal dan memerlukan tindakan segera dalam masa terdekat.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kerja-kerja pembaikan bagi 20 lokasi yang berada dalam kategori berisiko tinggi itu akan dilaksanakan tahun ini dengan peruntukan melebihi RM36 juta.
Lokasi terlibat termasuk di sepanjang Lebuhraya Timur-Barat dan kawasan sekitarnya yang menunjukkan tanda-tanda pergerakan tanah serta berpotensi mengancam keselamatan nyawa dan harta benda.
“Saya bersama Timbalan Menteri, Datuk Seri Ahmad Maslan, Ketua Setiausaha dan pegawai-pegawai kanan JKR telah turun padang ke seluruh negara bagi memantau keadaan cerun dan pelaksanaan projek-projek penyelenggaraan infrastruktur.
“Baru-baru ini, kami selesai lawatan ke Kedah dan Perlis termasuk ke Wang Kelian, di mana cerun berhampiran jalan telah mula runtuh,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Simposium Cerun Negara 2025 (SCN 2025) di sini, hari ini.
Menurutnya, walaupun kerajaan telah memperuntukkan lebih RM500 juta untuk menangani isu cerun, jumlah itu masih belum mencukupi memandangkan keperluan yang kian mendesak.
“Hanya bagi 20 lokasi berisiko tinggi, kita sudah perlukan lebih RM36 juta.
“Ini menunjukkan keperluan yang besar untuk peruntukan tambahan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan infrastruktur negara,” jelasnya lagi.
Mengulas lanjut, beliau berkata tindakan pemulihan dilakukan berdasarkan keutamaan dengan mengambil kira tahap risiko setiap lokasi.
Malah, pendekatan ‘do nothing’ turut diguna pakai di kawasan tertentu yang berpotensi menjadi lebih berbahaya jika diganggu.
“Kita ada prinsip keutamaan. Ada lokasi yang walaupun berisiko, belum perlu disentuh kerana gangguan boleh memburukkan keadaan. Jadi bukan bermaksud kita abaikan, tetapi kita berhati-hati,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, KKR turut melancarkan Pelan Induk Cerun Negara sebagai panduan menyeluruh dalam kerja-kerja pemuliharaan cerun secara terancang, sistematik dan berstruktur.
“Pelan ini menjadi kerangka utama yang memberi hala tuju jelas terhadap apa yang perlu dilakukan dari tahun ke tahun.
“Tanpa pelan induk, tindakan kita mungkin tidak berfokus, tidak efisien dan menyebabkan pembaziran sumber,” ujarnya.
Pelan induk ini juga akan membantu kementerian merancang keperluan belanjawan tahunan dengan lebih teratur serta memastikan langkah mitigasi cerun dapat dijalankan secara berperingkat mengikut keutamaan.
“Kita tak boleh bertindak secara rambang. Jika pencegahan tidak dilakukan di lokasi yang tepat pada waktunya, ia boleh menyebabkan bencana seperti cerun runtuh, kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda,” katanya.
Melalui pelan induk ini, KKR akan dapat menyusun strategi pengurusan cerun yang lebih cekap, sekali gus menjamin keselamatan pengguna jalan raya serta ketahanan infrastruktur negara untuk jangka masa panjang. – MalaysiaGazette