Nik Nazmi Nik Ahmad.

KUALA LUMPUR – Meskipun kalah dalam saingan di peringkat cabang, bulan lalu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan akan mempertahankan jawatan Naib Presiden PKR pada pemilihan parti itu.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai pandangan dan keresahan anggota parti berhubung proses pemilihan peringkat cabang sebelum ini, yang turut dibangkitkannya secara konsisten.

“Saya amat memahami kegusaran anggota parti. Saya sendiri telah berulang kali membangkitkan isu berkenaan kerana percaya sistem sedia ada harus ditambah baik untuk masa depan parti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, meskipun wujud pelbagai cabaran, kini adalah masa yang sesuai untuk membuat keputusan demi kesinambungan perjuangan parti.

“Saya adalah orang parti dan saya sentiasa meletakkan kepentingan parti serta negara mengatasi segala-galanya,” ujar Ahli Parlimen Setiawangsa itu.

Katanya, beliau kekal dengan keputusan berkenaan namun semuanya bergantung kepada pengumuman besar yang akan dimaklumkan selepas ini.

Isnin lalu, Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) mengekalkan keputusan Nik Nazmi yang gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang Setiawangsa.

Beliau yang menerima 563 undi tewas kepada pengarah dan pelakon, Datuk Afdlin Shauki yang meraih 631 undi.

Turut menerima nasib sama, Pengarah Strategi PKR yang juga Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir tewas kepada Ketua AMK Johor, Mohamad Taufiq Ismail.

Akmal memperoleh 587 undi manakala Taufiq mendapat 709 undi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here