KUALA LUMPUR – Dua pelajar Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) berjaya mengharumkan nama institusi itu setelah dinobatkan penerima Anugerah Gemilang Pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti 2024 dalam kategori kebudayaan serta keusahawanan.
Kemenangan itu sekali gus membuktikan bahawa pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) bukan sahaja melahirkan tenaga kerja mahir, malah bakat seimbang yang menyerlah dalam pelbagai bidang.
Pelajar Diploma Kejuruteraan Awam, Nursyafiqah Mohd Shahrul Anuar, 21, merangkul Anugerah Kategori Kebudayaan, Kesenian dan Warisan hasil penglibatan aktifnya dalam seni tari di peringkat nasional dan antarabangsa.
Difahamkan Nursyafiqah merupakan tulang belakang utama dalam penganjuran pelbagai persembahan kebudayaan mewakili PSA dan negara.
Sementara itu, Zurain Z. Zaharuddin, 22, pelajar Diploma Pemasaran diumumkan sebagai penerima anugerah bagi Kategori Keusahawanan Politeknik.
Zurain yang juga merupakan Presiden Premier Young Entrepeneur Club PSA menerima Anugerah Kategori Keusahawanan hasil kepimpinan cemerlang dalam menggerakkan projek keusahawanan di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Sementara itu, Pengarah PSA, Zainah Rujian menyifatkan kejayaan itu sebagai hasil dedikasi, bimbingan pensyarah serta pendekatan holistik institusi dalam membentuk pelajar yang berdaya saing.
“Kejayaan ini menjadi bukti pendekatan PSA dalam melahirkan graduan seimbang dan berketerampilan,” katanya ketika ditemui pada majlis yang diadakan di KSL Esplanade Hotel, Klang, Selangor.
Beliau berharap lebih ramai pelajar PSA akan terus menonjol di persada kebangsaan dan antarabangsa.
Majlis berkenaan diserikan dengan persembahan istimewa kumpulan liveband pelajar PSA, SONATA, yang sebelum ini muncul juara POLYCC Battle Showdown 2025.
Persembahan mereka yang menggabungkan enam genre muzik berbeza turut mendapat tepukan gemuruh daripada tetamu kehormat dan hadirin.
Anugerah Gemilang Pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti 2024 disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud dan dihadiri oleh Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dato’ Dr. Haji Mohd Zahari Ismail. – MalaysiaGazette