Tertuduh, Ahmad Reezqan Jaliludin, 31, yang menyamar sebagai penghantar makanan (p-hailing) untuk melakukan jenayah ragut sehingga videonya tular bulan lalu mengakut tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas empat pertuduhan meragut wanita termasuk warga emas pada Februari dan April lalu

MELAKA – Lelaki yang menyamar sebagai penghantar makanan (p-hailing) untuk melakukan jenayah ragut sehingga videonya tular bulan lalu didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini atas empat pertuduhan meragut wanita termasuk warga emas.

Tertuduh, Ahmad Reezqan Jaliludin, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah melakukan jenayah itu pada Februari dan April lalu sebaik empat pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah terhadapnya di hadapan Hakim Haderiah Siri.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang masih bujang didakwa telah melakukan rompakan ke atas harta milik seorang wanita Indonesia dengan melarikan beg tangan mengandungi telefon bimbit serta barangan lain dianggarkan bernilai RM2,500.

Tertuduh juga didakwa merompak tiga wanita lain termasuk warga emas masing-masing berumur 27, 49, dan 70 tahun kesemuanya dalam daerah Melaka Tengah.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di jalan Rumah Pangsa Bachang Permai dan kaki lima pasar raya di Bachang dan Peringgit pada 23 Februari, 22 dan dua kes pada 23 April lalu.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat, mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar dan Muhamad Ehsan Nasarudin mencadangkan jaminan sebanyak RM120,000 bagi keempat-empat pertuduhan selain syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis setiap bulan.

Peguam Umar Zulkarnain bagaimanapun merayu jaminan rendah bersama dua orang penjamin kerana kakak anak guamnya itu hanya bekerja sebagai kerani berpendapatan RM2,500 sebulan selain isteri tertuduh tidak bekerja.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM32,000 bagi kesemua pertuduhan dengan dua orang penjamin serta membenarkan syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan.

Hakim Haderiah menetapkan 17 Jun ini untuk sebutan semula kes.

MalaysiaGazette pada April lalu melaporkan kepantasan sekumpulan ‘abang Food Panda’ dan orang awam membanteras jenayah berhasil apabila berjaya membantu polis menangkap seorang peragut lelaki disyaki menyamar sebagai penghantar makanan.

Kejadian ragut itu dipercayai berlaku di sebuah pasar raya di Bachang sebelum disedari sekumpulan penghantar makanan Food Panda.

Berdasarkan video tular berdurasi 46 saat menunjukkan suspek berbaju hitam kemudian diserahkan kepada pihak polis yang tiba di lokasi kejadian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here