KUALA LUMPUR – Masa depan kelab bola sepak Sri Pahang FC sudah sampai ke penghujung apabila disahkan tidak akan bertanding dalam Liga Super musim depan.
Pemerhati sukan tempatan, Zulhelmi Zainal Azam berkata, keputusan itu sudah muktamad apabila kelab itu dilaporkan telah menghantar surat kepada para pemain yang mengesahkan penamatan penyertaan kelab itu di Liga Super.
“Closing the chapter. Status Sri Pahang difahamkan sudah muktamad, pemain menerima surat hari ini mengatakan skuad Tok Gajah tidak beraksi dalam Liga Super musim depan,” tulis di media sosial miliknya hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Sri Pahang belum memuktamadkan status sama ada mereka kekal beraksi atau tidak dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2025-26.
Ini kerana kelab itu memaklumkan tiada sebarang kata putus berhubung status terkini skuad Tok Gajah selepas lanjutan melengkapkan dokumentasi pelesenan yang diberikan akan berakhir Sabtu ini.
Setakat ini tiada individu atau pihak yang mahu mengambil alih Sri Pahang selepas pengumuman Pemilik Sri Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah yang mengumumkan akan mengundur diri musim depan.
Berdasarkan pencapaian musim 2024-25, Sri Pahang yang dibimbing Fandi Ahmad beraksi cemerlang apabila muncul naib juara Piala Malaysia.
Skuad itu juga menamatkan saingan Liga Super di kedudukan kelapan serta beraksi di pusingan 16 Piala FA.
Lanjutan masa yang diberikan Jawatankuasa First Instance Body (FIB) bagi kelab melengkapkan dokumentasi pelesenan kelab sehingga Sabtu ini memberi ruang kepada Sri Pahang untuk membuat keputusan. – MalaysiaGazette