Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain.

KUALA LUMPUR – Polis tetap meneruskan siasatan kes simbah asid melibatkan tonggak utama pasukan Selangor FC Muhammad Faisal Abdul Halim walaupun kes terbabit diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata status NFA merujuk kepada tangkapan tiga individu serta beberapa petunjuk termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan lakaran wajah yang diedarkan sebelum ini tidak mempunyai kaitan dengan kes terbabit.

“Ini merupakan prosedur operasi standard (SOP) dalam mana-mana siasatan. Sekiranya tangkapan tidak mempunyai kaitan atau membantu siasatan, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) akan mengklasifikasikan kes sebagai NFA sehingga wujud perkembangan atau maklumat baharu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Shuhaily berkata tiga individu yang ditahan sebelum ini telah dibebaskan selepas siasatan mendapati suspek sebenar menggunakan nombor pendaftaran kenderaan palsu manakala hasil analisis forensik terhadap telefon suspek tidak menunjukkan sebarang bukti penglibatan dalam kejadian berkenaan.

Beliau berkata rakaman CCTV serta lakaran wajah yang diperoleh setakat ini juga tidak dapat mengenal pasti pelaku sebenar.

Mohd Shuhaily berkata sebarang perkembangan berkaitan kes akan dimaklumkan kepada peguam yang mewakili Faisal dari semasa ke semasa, dengan siasatan masih berjalan dan kertas siasatan akan dirujuk semula kepada pihak pendakwaan sekiranya terdapat petunjuk baharu.

Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan kes berkenaan.

Media hari ini melaporkan peguam yang mewakili Faisal memohon kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) agar kertas siasatan terhadap kes simbah asid membabitkan pemain sayap sensasi Selangor FC dan kebangsaan itu dibuka semula.

Peguam Nik Zarith Nik Moustpha berkata pihaknya telah menyerahkan surat berkenaan kepada AGC pada 15 April lepas, namun setakat ini tiada maklum balas daripada pihak terbabit.

Nik Zarith berkata pihaknya menerima surat daripada AGC pada 18 Feb lepas yang memaklumkan bahawa kes itu sudah diklasifikasikan sebagai NFA.

Pada 5 Mei tahun lepas, Faisal, 27, menjadi mangsa simbahan asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, sekali gus mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa bahagian badan dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama 10 hari. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here