Antara 'skid tank' yang dirampas untuk siasatan kerana disyaki terbabit dalam cubaan menyeludup minyak diesel. Gambar: ihsan PPM

KUALA LUMPUR – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1 Kuala Kedah menggagalkan tindakan tiga lelaki yang cuba untuk menyeludup 125,000 liter minyak diesel ke Thailand menerusi satu operasi di sebuah premis di Bukit Kayu Hitam, semalam.

Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rusley Che Ari berkata, operasi pada pukul 9.30 pagi itu dilakukan hasil maklumat awam.

“Tiga lelaki yang ditahan terdiri daripada seorang rakyat tempatan dan dua warga Thailand, berusia antara 39 hingga 51 tahun.

“Mereka dikesan memindahkan minyak diesel dari tangki simpanan (skid tank) ke dua kenderaan pacuan empat roda berdaftar Thailand secara tidak sah,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, kesemua suspek gagal mengemukakan dokumen sah berkaitan aktiviti berkenaan.

Antara yang dirampas termasuk 125,000 liter diesel, dua kenderaan pacuan empat roda, tujuh unit skid tank serta sebuah pam minyak bermeter.

Jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM801,750.

Kesemua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kubang Pasu untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here