Bubu naga bernilai hampir RM20,000 dirampas dan dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis bagi siasatan dan tindakan lanjut. Ihsan Foto : APMM

KUALA LUMPUR – Taktik licik pihak tidak bertanggungjawab menggunakan botol minuman sebagai penanda lokasi pemasangan bubu naga di perairan Kuala Perlis akhirnya terbongkar apabila dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, helah tersebut dikesan hasil rondaan rutin oleh bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Aman di kawasan perairan berhampiran muara Kuala Sanglang, Kuala Perlis, semalam.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas objek mencurigakan berupa botol-botol minuman yang terapung di permukaan laut.

“Kami menemui 160 set bubu naga yang dipasang di empat lokasi berasingan pada kedudukan kira-kira 0.8 hingga 1.2 batu nautika dari barat muara tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd Hashim, bubu naga yang dirampas dianggarkan bernilai hampir RM20,000 dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Perlis untuk siasatan lanjut.

Taktik menggunakan botol minuman itu dipercayai bagi mengaburi mata penguat kuasa selepas penggunaan pancang kayu dan pelampung kecil sering dikesan sebelum ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana memasang peralatan menangkap ikan tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

“Penggunaan bubu naga bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah menjejaskan biodiversiti marin dan sumber rezeki nelayan tradisional di kawasan pesisir,” tambahnya.

Maritim Malaysia memandang serius aktiviti penangkapan hasil laut secara haram yang dilihat masih aktif biarpun banyak rampasan telah dilakukan sebelum ini.

Sehubungan itu, operasi rondaan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan bagi membanteras kegiatan ini secara berterusan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menyalurkannya ke talian kecemasan 999 atau terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here