PENGUMUMAN keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 mencetuskan pelbagai reaksi. Ada yang meraih kejayaan cemerlang, namun tidak kurang juga yang kecewa apabila keputusan tidak menepati sasaran.
Bagaimanapun, satu perkara penting perlu diingat, keputusan SPM bukanlah penamat, tetapi permulaan kepada peluang masa depan yang lebih luas. Dalam sistem pendidikan negara, pelajar lepasan SPM mempunyai pelbagai laluan yang sah dan diiktiraf untuk menyambung pengajian. Yang penting, pemilihan laluan dilakukan secara bijak, berdasarkan minat dan potensi diri, bukan semata-mata ingin mengikut trend semasa.
Peluang untuk semua: Akademik dan TVET
Bagi pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik, laluan seperti matrikulasi, asasi,
diploma dan STPM menjadi pintu masuk utama ke universiti awam untuk pengajian dalam
bidang profesional termasuk sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Bagi mereka yang lebih cenderung kepada kemahiran teknikal dan praktikal, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) merupakan pilihan yang semakin penting dalam pasaran buruh masa kini. Program-program TVET ditawarkan di politeknik, kolej vokasional, institut latihan kemahiran dan juga universiti teknikal seperti Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
UTHM merupakan salah satu peneraju pendidikan TVET bertaraf universiti di Malaysia. UTHM sebagai ahli rangkaian Malaysian Technical University Network (MTUN) menyediakan laluan pengajian berasaskan kemahiran dan teknologi yang seimbang
dengan teori, sesuai untuk pelajar yang ingin menguasai kemahiran industri serta
berpeluang menyambung ke peringkat lebih tinggi.
TVET bukan lagi laluan kedua, malah ia kini menjadi pilihan utama yang menjanjikan
kebolehpasaran tinggi, pendapatan stabil, dan bahkan membuka jalan keusahawanan. Dengan penerapan modul keusahawanan dan latihan industri, lepasan TVET juga mampu
menjadi pencipta pekerjaan dan menyumbang kepada ekonomi negara.
Ayuh mulakan langkah satu-persatu untuk merancang masa depan selepas SPM.
1. Semak keputusan dengan teliti
Pastikan subjek wajib seperti Bahasa Melayu dan Sejarah lulus. Tanpa lulus kedua-dua
subjek ini, pelajar tidak akan menerima sijil penuh dan akan menghadapi kekangan untuk
memohon ke universiti awam serta kerjaya sektor kerajaan. Namun begitu, SPM Ulangan
(SPMU) disediakan bagi pelajar yang ingin memperbaiki keputusan.
2. Kenal pasti minat dan potensi diri
Lakukan ujian minat kerjaya secara dalam talian atau dapatkan bimbingan guru kaunseling. Bincang dengan individu berpengalaman untuk memahami bidang yang sesuai dengan personaliti, kekuatan dan aspirasi diri. Pilihan laluan yang sesuai akan membantu pelajar kekal bermotivasi sepanjang pengajian.
3. Kaji laluan pengajian yang ada
Antara laluan utama:
Akademik – STPM, matrikulasi, asasi, diploma
Kemahiran/TVET – di politeknik, kolej vokasional, ILKA dan universiti teknikal seperti
UTHM
Keusahawanan – Program asas perniagaan di institusi tertentu
Kreatif dan Seni – Animasi, grafik, muzik, penulisan
Agama dan Tahfiz – Pengajian Islam dan syariah
Walau bagaimanapun, pilihlah laluan berdasarkan minat dan kebolehan, bukan semata-
mata kerana trend atau tekanan sosial.
4. Dapatkan maklumat institusi
Hadiri hari terbuka, lawati laman web rasmi dan kaji akreditasi, yuran dan prospek kerjaya.
5. Mula memohon
Mula memohon secara terancang dan sistematik – Setelah menentukan minat, laluan
pengajian dan institusi sasaran, pelajar perlu mula mengambil tindakan dengan membuat
permohonan rasmi ke institusi pengajian yang berkaitan. Ini merupakan fasa penting yang memerlukan ketelitian, disiplin masa dan pemahaman terhadap keperluan setiap institusi.
Berikut ialah beberapa perkara penting yang perlu diberi perhatian:
a) Gunakan saluran permohonan yang sah – Terdapat beberapa platform rasmi permohonan
di Malaysia bergantung kepada jenis institusi dan program yang dipilih:
UPUOnline – untuk kemasukan ke universiti awam, politeknik, kolej komuniti dan
Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA).
Portal MARA (mara.gov.my) – untuk memohon ke program tajaan MARA seperti
Kolej Profesional MARA, GIATMARA dan program khas lepasan SPM.
Laman web rasmi institusi IPTA/IPTS/TVET – seperti UTHM, Politeknik Premier, kolej
swasta atau institusi keusahawanan. eTVET dan MyTVET Portal – untuk maklumat dan permohonan berkaitan program TVET seluruh negara. Setiap platform mempunyai syarat kelayakan yang berbeza, justeru pelajar perlu membaca panduan permohonan dengan teliti.
b) Rekodkan tarikh tutup dan kemaskini maklumat – Buat jadual atau kalendar permohonan agar tidak terlepas tarikh penting. Simpan bukti permohonan seperti nombor rujukan, salinan borang permohonan, dan resit pembayaran (jika ada). Kegagalan memohon dalam tempoh yang ditetapkan boleh menyebabkan pelajar terlepas peluang menyambung pengajian.
c) Sediakan dan semak dokumen sokongan – Antara dokumen penting yang biasanya
diperlukan:
Salinan keputusan SPM
Salinan kad pengenalan
Sijil-sijil kokurikulum
Gambar berukuran passport
Surat pengesahan pendapatan ibu bapa (jika berkaitan)
Pastikan semua salinan disahkan oleh pihak berkuasa yang diiktiraf dan disusun mengikut
keperluan institusi.
d) Berbincang dengan ibu bapa, guru atau kaunselor
Sebelum menghantar permohonan akhir, berbincanglah dengan ibu bapa atau penjaga
mengenai kemampuan kewangan, lokasi institusi dan jangkaan masa pengajian. Rujuk juga guru kaunseling atau individu yang berpengalaman untuk memastikan pemilihan program tersebut benar-benar bersesuaian dengan minat dan kebolehan pelajar.
e) Bersedia untuk temuduga atau penilaian tambahan
Sesetengah program seperti asasi sains kesihatan, seni reka, kejururawatan atau program
tajaan (biasiswa) memerlukan sesi temuduga, portfolio atau ujian khas. Pelajar perlu
bersedia dari segi mental dan dokumentasi untuk menghadapi proses penilaian ini.
Apapun keputusan SPM yang diterima, pelajar perlu mengekalkan pemikiran yang
berkembang. Keputusan hari ini bukan gambaran mutlak masa depan. Ramai tokoh berjaya yang bermula dengan keputusan sederhana tetapi membina masa depan cemerlang melalui sikap positif, kerja keras dan kesediaan untuk belajar semula.
Kekuatan mental dan fizikal perlu dibina. Ketahanan emosi, daya tahan, kesihatan tubuh
dan semangat untuk terus mencuba adalah bekalan paling bernilai dalam mendepani fasa
kehidupan pasca-sekolah. Tahniah kepada semua lepasan SPM. Bagi yang berjaya, teruskan kecemerlangan.
Bagi yang kecewa, bangkit dan rancang semula. Dunia ini luas dan peluang sentiasa terbuka bagi mereka yang berani mencuba. Apa yang penting bukan dari mana anda bermula, tetapi ke mana anda sanggup melangkah.
Oleh: Prof. Madya Dr. Ezrin Hani Sukadarin
Fakulti Teknologi Kejuruteraan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia
Dr. Salwa Mahmood
Fakulti Teknologi Kejuruteraan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia