JOHOR BAHRU – Johor yakin dapat mencapai pelaburan langsung asing (FDI) berjumlah hampir RM60 bilion menjelang suku kedua tahun ini.
Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, keyakinan ini adalah berdasarkan kepada pencapaian negeri yang mencatatkan jumlah pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM27.4 bilion pada suku pertama tahun ini, angka yang hanya boleh dicapai dalam tempoh sembilan bulan tahun lepas.
“Kita mencapai angka ini (RM27.4 bilion) hanya dalam tempoh tiga bulan pada 2025. Malah, saya dimaklumkan pada April sahaja, kita sedang mengusahakan kemungkinan (kemasukan) FDI bernilai RM23 bilion lagi.
“Menjelang suku kedua tahun ini, Insya-Allah Johor bakal mencapai jumlah pelaburan RM50 bilion hingga RM60 bilion,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian Oryx Stainless Malaysia Sdn Bhd, di sini, hari ini.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah pengerusi jawatankuasa pelaburan, perdagangan, hal ehwal pengguna dan sumber manusia Johor Lee Ting Han.
Onn Hafiz berkata pencapaian ini akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang bernilai untuk belia.
Sementara itu Lee berkata, beliau yakin prestasi pelaburan akan terus mencatatkan peningkatan berdasarkan kemampuan Johor yang berjaya menarik minat pelbagai syarikat besar.
“Syarikat seperti Mercedes-Benz dan BMW yang menubuhkan Pusat Pengedaran Asia Pasifik mereka di Johor akan membantu dan menjadikan negeri ini buah mulut (sebagai lokasi pilihan).
“Ini sekali gus akan memberi keyakinan kepada syarikat yang ingin melabur di sini,” katanya pada sidang media selepas majlis tersebut. – BERNAMA