KUANTAN – Kuantan masih menjadi daerah tertinggi merekodkan kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dengan 4,320 kes.
Pekan merupakan daerah kedua tertinggi dengan merekodkan sebanyak 650 kes; Temerloh (482), Maran (407), Bentong (376), Raub (354) dan Rompin (350).
Manakala Bera (239), Jerantut (155), Lipis (150) dan Cameron Highlands (41).
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim berkata, penularan kes HFMD dalam komuniti ini dikenal pasti berpunca daripada pergerakan kes yang dijangkiti semasa musim perayaan Aidilfitri lalu.
“Jumlah penyakit ini terus meningkat kepada 7,524 kes sehingga 3 Mei lalu daripada 6,563 kes pada 28 April 2025 seperti berdasarkan statistik Jabatan Kesihatan Negeri Pahang,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Virus tersebut boleh merebak melalui kontak dengan air liur, cecair lepuh dan najis pesakit.
Bagaimanapun, kebanyakkan kes mengalami gejala ringan sahaja.
Antara gejala HFMD adalah demam, ruam melepuh pada tangan, kaki, mulut dan lidah serta kurang selera makan.
Gejala dan tanda jangkitan HFMD selalunya akan pulih tanpa rawatan dalam masa tujuh ke sepuluh 10 hari.
Namun begitu, segelintir pesakit HFMD yang disebabkan oleh jangkitan virus EV71 boleh mengalami komplikasi radang otak (encephalitis), myocarditis dan pulmonary edema.
Sehubungan itu katanya, orang awam diminta untuk sama-sama membantu mengekang jangkitan HFMD dengan mengamalkan langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan diri dan ahli keluarga daripada dijangkiti HFMD.
”Semua pihak perlu memastikan kebersihan premis dan persekitaran serta melakukan proses nyah kuman secara rutin terutama melibatkan peralatan dan perkakas yang digunakan oleh kanak-kanak bagi mengurangkan risiko penularan.
”Ibu bapa dinasihatkan supaya tidak membawa anak-anak yang bergejala ke sekolah atau keluar daripada rumah,” katanya.
Jelasnya penyakit HFMD adalah termasuk dalam kumpulan penyakit yang diberikan cuti kepada ibu bapa atau penjaga di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Selain itu pihak pengurusan perlu membuat saringan gate keeping di pintu masuk sekolah atau pusat jagaan bagi memastikan kehadiran kanak-kanak yang tiada tanda-tanda penyakit HFMD.
”Jika ada tanda gejala kanak-kanak ini perlu dibawa mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan yang terdekat dan diisolasi di rumah.
”Elakkan berkongsi pakaian, tuala, perkakas, dan alat mainan bagi mengelakkan penularan penyakit kepada anak-anak yang lain,” tambahnya.
Razali berkata, JKN Pahang telah meningkatkan pemantauan di taska,tadika,pra sekolah termasuk di sekolah rendah bagi mengawal risiko penyakit berkenaan. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN :
Pahang rekod 6,563 kes HFMD, meningkat 8 kali ganda