KUALA LUMPUR – Peguam yang mewakili keluarga Datin Seri Pamela Ling Yueh mendakwa, teori polis bahawa wanita itu `merancang sendiri penculikannya’, bukan sahaja tidak berasas malah bertujuan mengalihkan fokus siasatan.
Sangeet Kaur Deo berkata, teori wanita itu terlibat dalam penculikannya sendiri merupakan sesuatu yang sengaja direka untuk melengah-lengahkan siasatan sejak kehilangannya pada 9 April lalu, iaitu genap sebulan hari ini.

Menurut beliau, pihak polis semestinya menyedari bahawa salah seorang anak wanita itu menghidap penyakit yang serius dan jika tidak dirawat, boleh menyebabkan maut.
“Pamela merupakan ibu kepada tiga orang anak, adakah polis menyatakan dia meninggalkan anak-anak tanpa memikirkan akibatnya?
“Mengapa tidak wanita itu ‘menghilangkan diri’ lebih awal sebaliknya menunggu sehingga sembilan kali disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)?
“Dan mengapa pula kehilangan itu (jika betul dirancang), dilakukan selepas dua hari memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan SPRM yang mana wanita itu memperincikan dakwaan salah guna kuasa agensi itu?” persoal beliau.
Sangeet menyatakan demikian dalam kenyataannya ketika mengulas laporan media bahawa polis tidak menolak kemungkinan Pamela Ling `merancang sendiri’ penculikannya.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa semalam berkata, elemen itu antara intipati yang turut diambil kira pasukan siasatan dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur.
“Berdasarkan rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV), polis mendapati mangsa mengikut arahan suspek yang melarikannya tanpa berlaku sebarang pergelutan dan situasi pergerakan penculikan berjalan lancar,” ujar beliau.
Dalam kenyataannya, Sangeet turut menyatakan, polis mempunyai pengetahuan bahawa kereta yang digunakan menggunakan nombor plat palsu.
Peguam itu mempertikai sama ada rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) dari kediaman sementaranya di Cheras, diperiksa untuk menentukan sama ada dia sedang diekori atau sebaliknya.
“Adakah rekod tol disemak untuk mengenal pasti pergerakan kenderaan tersebut dan mengesan kad RFID atau TNG yang digunakan? Mengapakah langkah-langkah asas ini masih dipersoalkan?.
“Keluarga berhak menerima maklumat terkini daripada pihak berkuasa dan tidak perlu hanya bergantung kepada laporan media,” ujarnya. – MalaysiaGazette