KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan pengurus bangunan wanita kerana didakwa terlibat dalam kes pecah amanah pekerja di OG Height Condo di sini.
Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, wanita yang dikenali dengan nama Loo Yuit Mei sedang dikesan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Brickfields.
“Dia dikehendaki bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan.
Ku Mashariman berkata, semakan mendapati, wanita berusia 66 tahun itu sebelum ini tinggal di alamat Kiara Residence 2, No 3, Jalan Jalil Perwira 1 , Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta hadir ke Balai Polis berhampiran atau menghubungi Inspektor S. Sivalingam di talian yang tertera.
Pada masa sama, orang ramai diminta tidak menimbulkan sebarang spekulasi berhubung kes terbabit. – MalaysiaGazette