Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu memperkuatkan kedudukannya di semua kawasan terlebih dahulu sebelum pimpinan di peringkat negeri memohon untuk bertanding di sesuatu kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Jalaluddin Alias berkata, masih terlalu awal untuk mengadakan perbincangan soal kerusi dan lebih elok sekiranya ahli disemua peringkat memperkukuhkan parti terlebih dahulu.

“Soal pengagihan kerusi, soal agihan kawasan, sama ada Parlimen atau DUN itu letakkan sepenuh keyakinan kepada kepimpinan tertinggi parti iaitu presiden dan juga jawatankuasa pengurusan.

“Jadi, belum masanya lagi untuk kita memperkatakan tentang kerusi ataupun yang boleh mencetuskan rasa tak puas hati di kalangan mana-mana pihak,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Jelebu berkata demikian bagi mengulas peringatan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh semalam agar Pakatan Harapan (PH) Melaka tidak terlalu berharap untuk bertanding di kerusi DUN yang dimenangi BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Semalam, Akmal yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, menerusi hantaran di Facebook berkata, DAP boleh meneruskan ‘mimpi’ untuk bertanding di kerusi DUN yang dimenangi BN pada PRN lalu.

Ini kerana katanya, BN yang pada ketika ini mendominasi kerusi DUN di negeri itu tidak sesekali akan melepaskan kerusi yang dimenangi pada PRN lalu kepada gabungan berkenaan, termasuk cadangan pembahagian kerusi 14 BN dan 14 PH.

Katanya, ketika rundingan dibuat menjelang PRN lalu, PH sangat susah untuk bersetuju memberikan kerusi yang dimenangi parti komponen mereka kepada BN.

Jalaluddin Alias

Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan sebuah akhbar berbahasa Cina bertajuk `9 Cawangan DAP Melaka meluluskan resolusi strategi 14 BN + 14 PH pada PRN Melaka akan datang.

Difahamkan, sembilan cawangan itu adalah Bukit Beruang, Ayer Keroh, Kampung Baru Ayer Keroh, Merdeka Jaya, Sunshine, Taman Muzaffar Shah, Bukit Beruang Indah, Kubu dan Taman Kerjasama.

Dalam kenyataan bersama, semua cawangan itu menyokong supaya PH dan BN masing-masing bertanding 14 daripada 28 kerusi DUN di Melaka, selari semangat kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

Usul itu dikatakan bertujuan memperkukuh mandat rakyat dan memastikan wakil rakyat yang terpilih benar-benar mencerminkan kehendak pengundi, selain mengukuhkan kestabilan politik serta kesinambungan dasar di peringkat negeri dan Pusat.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai permintaan kerusi yang mungkin dibuat oleh parti-parti gabungan untuk pertandingan dalam mana-mana peringkat, Jalaluddin berkata, ia boleh dibuat namun, yang menentukannya nanti adalah pemimpin parti di peringkat pusat dan bukannya negeri.

Jelasnya, ia disebabkan pimpinan parti terutamanya presiden mempunyai kuasa prerogatif yang tidak boleh dihalang mana-mana pihak.

“Biar Majlis Presiden menentukan… lagi satu kita pun belum ada apa-apa keputusan dalam menghadapi PRU16

“Jadi, eloklah kita buat masa ini ambil satu pendekatan yang elok dan juga tidak mendatangkan apa-apa polemik (tidak bincang soal pembahagian kerusi),” ujarnya.

Mohd Razlan Muhammad Rafii

Pandangan sama turut diberikan Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Mohd Razlan Rafii yang menyatakan, tidak perlu untuk mengulas berkenaan perkara tersebut buat masa ini.

Baginya, perjalanan untuk menuju pilihan raya masih jauh dan apa yang perlu dilakukan hanyalah memperkuatkan parti di semua peringkat.

“Lama lagi nak pilihan raya. Saya rasa tak perlu dulu untuk cakap pasal pembahagian kerusi ni. Kita tunggu bila tiba masanya nanti,” tambahnya. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan:-

DAP boleh terus bermimpi – Akmal

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here