Universiti Malaysia Terengganu

KUALA LUMPUR – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melakar kecemerlangan dalam dunia penerbitan apabila memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sempena Majlis Julangan Karyawan yang berlangsung di kampus universiti, baru-baru ini.

Majlis apresiasi itu dianjurkan oleh Penerbit UMT bagi meraikan 78 orang pengarang UMT yang telah berjaya menghasilkan pelbagai judul buku sepanjang tahun lalu, sekali gus menyumbang kepada peningkatan penarafan universiti dalam sistem penilaian MyRA.

Dalam ucapan, Naib Canselor UMT, Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim mengalu-alukan sebarang bentuk kolaborasi khususnya dalam memartabat bahasa dan ilmu demi manfaat semua.

Ucapan beliau dibacakan oleh Penolong Naib Canselor, Prof. Ts. Dr. Noor Maizura Mohamad Noor (Pro Naib Canselor (Jaringan Industri, Masyarakat dan Digital).

Menurut beliau, kerjasama erat antara UMT dan DBP telah terjalin sejak sekian lama menerusi pelbagai program meliputi bidang penyelidikan, latihan, pendidikan, penerbitan serta pengembangan bahasa dan sastera.

“Walaupun UMT merupakan sebuah universiti berfokuskan bidang kelautan dan sumber akuatik, kami amat menyokong sebarang usaha yang memartabatkan bahasa dan sastera, termasuk dalam penerbitan ilmiah,” ujarnya.

Tambah beliau, UMT terus memberi keutamaan kepada penerbitan buku ilmiah dalam Bahasa Melayu di samping turut meneroka potensi dalam bahasa asing termasuk bahasa Inggeris.

Melalui pemeteraian MoU itu, kedua-dua institusi menyasarkan penerbitan bersama yang lebih menyeluruh termasuk dokumentasi warisan dan khazanah negeri Terengganu untuk dijadikan rujukan masa depan.

Turut diraikan ialah Prof. Dr. Shamsul Bahri Abd. Razak yang menerima Hadiah Penghargaan Penulis Prolifik dalam Anugerah MAPIM-KPT Ke-15 baru-baru ini sebagai pengiktirafan atas komitmennya menghasilkan penerbitan ilmiah berkualiti tinggi.

“Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada warga UMT untuk terus menghasilkan kaya ilmiah yang bermutu, memperkukuh citra universiti di persada antarabangsa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here