HAMILTON – Sebanyak 70 peratus kawasan di Semenanjung Gaza kini berada dalam zon ketenteraan Israel, di bawah arahan pemindahan, atau kedua-duanya, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Disebabkan itu, PBB berdepan dengan halangan berterusan untuk mengagihkan bantuan kepada penduduk Gaza kerana sekatan Israel.
Jurucakap PBB, Farhan Haq pada sidang media berkata: “Rakan kongsi PBB yang bekerja untuk menyokong telekomunikasi di Gaza memberitahu kami bahawa kabel gentian optik telah rosak selama lebih daripada enam minggu, manakala pihak berkuasa Israel terus menafikan permintaan penyelarasan untuk membenarkan kami membaikinya.
“Penolakan terbaharu adalah pagi ini, kerana kabel itu merupakan sumber penyambungan data yang kritikal untuk responden kemanusiaan,” kata Haq.
Beliau menambah, pasukan PBB masih bergelut untuk mendapatkan akses yang konsisten kepada bahan api, dan melaporkan pasukan PBB yang diketuai oleh OCHA (Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan) telah mendapatkan beberapa bekalan dari stesen minyak di Rafah selepas pihak berkuasa Israel membenarkannya.
“Ini adalah hari kedua berturut-turut kami dibenarkan untuk mendapatkan semula bahan api dari Rafah selepas hampir tiga minggu penafian,” ujar Haq.
Bagaimanapun, katanya, bekalan ini hanya “titisan berbanding keperluan yang besar”.
Ditanya mengenai perbincangan mengenai rancangan penyampaian bantuan yang disokong AS oleh Israel, Haq memaklumkan OCHA dan rakan-rakan kemanusiaan sudah menghadiri pertemuan dengan Amerika Syarikat beberapa hari lalu untuk berdialog bagi memastikan bantuan itu sampai kepada penduduk Gaza selaras dengan prinsip kemanusiaan. – Agensi