KUALA LUMPUR – Keputusan untuk bertanding jawatan Naib Presiden PKR dalam pemilihan parti adalah berlandaskan rasa tanggungjawab dan kesediaan untuk berkhidmat demi memperkukuh perjuangan reformasi.
Timbalan Setiausaha Agung PKR, Dr. Sathia Prakash Nadarajan berkata, pencalonannya bukan didorong oleh keinginan terhadap kuasa.
“Sebaliknya saya ikhlas untuk menyumbang kepada kesinambungan legasi parti perjuangan yang telah dibina sejak lebih dua dekad lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Dr Sathia turut menyeru agar semua calon dan anggota parti menghormati proses demokrasi dalaman serta mengingatkan pentingnya menjunjung nilai integriti, kesetiaan dan kematangan politik sepanjang pemilihan berlangsung.
“Parti ini ibina atas darah, keringat dan air mata rakyat. Tiada ruang untuk mereka yang memperalatkan parti demi agenda sendiri.
“Kita tidak boleh bertolak ansur dengan sebarang bentuk pengkhianatan atau usaha memecah-belahkan kesatuan dalaman demi kepentingan peribadi,” tambahnya.
Dr Sathia juga meminta semua pihak untuk menghindari serangan peribadi terhadap pimpinan parti dan terus memelihara maruah perjuangan dengan berpegang pada prinsip asas PKR.
“Bertandinglah dengan cara yang terhormat, kerana rakyat sedang memerhati siapa yang ikhlas berjuang dan siapa yang hanya mengejar kemenangan.
“Ingatlah bahawa akar akar umbi adalah nadi utama parti dan menyeru agar semua pihak kembali kepada asas perjuangan serta tidak melupakan asal-usul penubuhan PKR,” jelasnya. – MalaysiaGazette