KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mendakwa kerajaan membatalkan keputusan berhubung kemasukan pelajar bukan Bumiputera yang mendapat 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke program matrikulasi, yang diumumkan setahun lalu.
Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata pembatalan tersebut mengejutkan pelajar dan ibu bapa, sekaligus membuktikan kerajaan gagal menunaikan janji sendiri dan tidak menghormati kepercayaan rakyat.
“Dasar 10A diumumkan sebagai jaminan pada tahun lepas, kini dibatalkan tanpa amaran. Ini bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah mengkhianati kepercayaan rakyat,” katanya menerusi kenyataan.
Sehubungan itu, beliau menggesa Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memberi penjelasan mengenai pembatalan tersebut.
“Jika mereka (Fadhlina dan Timbalan Menterinya, Wong Ka Woh) tahu dan bersetuju, apakah justifikasinya?
“Dan kenapa tidak diumumkan lebih awal? Jika mereka tidak tahu, maka kementerian ini sudah tidak berfungsi secara politik, dan lebih baik jawatan mereka dikosongkan kerana hanya menjadi perhiasan,” katanya lagi.
Selain itu, Dominic turut membangkitkan persoalan mengapa dalam masa hanya setahun, gred A- tidak lagi dianggap sebagai Gred A.
“Jika Perdana Menteri sendiri boleh mengingkari janji yang dibuat kepada rakyat, bagaimana rakyat mahu percaya kepada seluruh kabinet? Apa lagi makna integriti bagi kerajaan Madani?” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa janji menerima semua pelajar kepada bukan Bumiputera dengan keputusan SPM 10A ke program matrikulasi sudah dipersoalkan sejak awal, kerana tiada penambahan tempat disediakan.
“Kini, apabila tempat tidak mencukupi, pelajar yang layak menjadi mangsa. Ini adalah dasar yang zalim, tidak adil dan tidak bertanggungjawab,” tambahnya.-MalaysiaGazette