Tangkap layar video tular memaparkan kelibat Mohamad Asmawi berkeliaran di sekitar bandar Kuantan.

KUANTAN – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang kini mengesan bekas penjaga gol skuad hoki remaja kebangsaan, Mohamad Asmawi Zaidi yang dipercayai mengalami masalah mental dan dilihat berkeliaran di sekitar bandar ini.

Pengarah JKM Pahang, Khairul Amri Ahmad berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengesan lelaki berusia 36 tahun itu sebelum dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

“JKM akan memastikan individu ini mendapat rawatan sewajarnya agar dia kembali pulih dan menjalani kehidupan normal seperti biasa.

“Justeru, JKM berharap kerjasama orang ramai yang melihat di mana Mohamad Asmawi berada dapat segera menghubungi JKM bagi tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Menurut Khairul Amri, Mohamad Asmawi dilahirkan di Kemaman, Terengganu dan pernah mewakili skuad hoki remaja bawah 16 tahun negara sebagai penjaga gol.

Kisah lelaki itu menjadi tular di media sosial baru-baru ini selepas beberapa video memperlihat kelibatnya merayau dalam keadaan tidak terurus dan berkaki ayam mula tersebar mencetuskan kebimbangan orang ramai.

Mohamad Asmawi pernah mengharumkan nama negara dan mewakili Malaysia ke beberapa kejohanan antarabangsa termasuk di Jerman, India dan Pakistan.

Difahamkan, Mohamad Asmawi meninggalkan kerjaya profesional sebagai pemain hoki sekitar usianya 25 tahun dan kembali ke kampung halamannya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here